Giorgio Pompili Rossi tidak lagi menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkuatkuasa serta-merta.

Perkara ini diumumkan oleh MFL menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengelola Liga Malaysia itu di laman media sosial rasmi.

Baca Juga:

Giorgio Pompili Rossi Tidak Lagi Bersama MFL

“MFL hari ini mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Giorgio Pompili Rossi tidak lagi bersama MFL. Kedua-dua pihak kini dalam proses perbincangan untuk tindakan seterusnya.

“Buat sementara ini, operasi sekretariat MFL akan diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.

Giorgio Pompili Rossi
Giorgio Pompili Rossi

MFL tidak berkongsi secara rasmi mengenai punca utama mengapa Rossi meninggalkan badan itu dan kami di Vocket FC berjaya mendapat maklumat.

Menurut maklumat, kurang dari segi pengalaman dalam mengendalikan badan pengelola liga selain tiada perubahan yang berjaya dibawa oleh Rossi.

Antara masalah utama yang tidak berjaya diselesaikan ialah jadual liga yang tidak menentu sekaligus menjadikan badan itu sebagai sasaran kritikan peminat.

Pada September tahun lalu, Rossi dilantik bagi menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos 2024.

Giorgio Pompili Rossi
Giorgio Pompili Rossi

Keputusan pelantikan tersebut telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi satu mesyuarat pada 4 September 2024 sekali gus menyaksikan Pompili Rossi adalah individu dari luar negara yang pertama dilantik sebagai CEO MFL.

Menurut Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan melantik Pompili Rossi dibuat berdasarkan pengalaman yang ada pada beliau dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum beliau menyertai LaLiga pada tahun 2017.