Jaringan pemain sayap negara, Faisal Halim ketika menentang Korea Selatan pada aksi peringkat kumpulan E temasya Piala Asia 2023 terpilih sebagai salah satu calon untuk anugerah gol terbaik kejohanan.

Perkara ini dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dimana selain Faisal, tujuh lagi jaringan telah disenarai pendek oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi anugerah tersebut.

Baca Juga:

Sebanyak 132 gol dijaringkan dalam 51 perlawanan ketika Piala Asia berlangsung pada nisbah 2.59 setiap perlawanan. AFC memberikan peluang kepada peminat untuk mengundi jaringan mana yang menurut mereka terbaik.

Antara gol yang disenarai pendek oleh AFC ialah jaringan yang dicipta oleh pemain Jepun, Keito Nakamura ketika perlawanan peringkat kumpulan menentang Vietnam.

Seterusnya, gol Abdulrahman Ghareeb ketika Arab Saudi turun menentang Oman, gol Hassan Al Haydos ketika Qatar menentang China, jaringan Supachok Sarachat ketika Thailand menentang Uzbekistan dan gol Son Heung-min ketika Korea Selatan menewaskan Australia.

Tiga lagi jaringan yang dipilih AFC adalah dari Mousa Al-Tamari ketika Jordan berdepan Korea, gol Sardar Azmoun ketika Iran tewas kepada Qatar dan jaringan Faisal Halim ketika Malaysia mengikat seri Korea.

Peminat boleh mengundi di laman ini dimana proses undian akan dibuka sehingga 25 Februari dan AFC akan memilih gol terbaik berdasarkan undian terbanyak.

Ketika aksi menentang Korea, dua lagi pemain iaitu Arif Aiman dan Romel Morales turut menjaringkan gol sekaligus menghadiahkan Malaysia satu mata dalam temasya edisi kali ini.