Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa perebutan kejuaraan English Premier League (EPL) 2025/26 masih belum berakhir.

Keyakinan itu disuarakan Guardiola walaupun melihat skuad kendaliannya ketinggalan sembilan mata dibelakang pendahulu, Arsenal susulan keputusan seri 1-1 diraih ketika berhadapan dengan West Ham United, awal pagi tadi.

Namun di sebalik keyakinan itu, beliau mengakui pasukannya kekurangan konsistensi, kreativiti dan jaringan gol daripada Erling Haaland yang mereka perlukan ketika ini.

Guardiola Masih Belum Mengaku Kalah

“Tidak, ia masih belum berakhir,” ujar Pep Guardiola menurut sumber laporan Sky Sports.

“Kami tidak kalah. Kami akan teruskan.”

Beliau turut menyatakan bahawa pasukan itu sebenarnya beraksi lebih baik daripada jangkaannya musim ini, selepas hanya menamatkan musim lalu di tempat ketiga dengan jurang yang jauh.

Namun menurut Pep Guardiola, pasukannya masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki.

“Kami telah berkembang dengan banyak sejak awal musim, tetapi kerja ini masih belum selesai.”

Pep Guardiola melihat kekurangan konsistensi sebagai isu utama pasukannya. Minggu lalu, beliau begitu gembira selepas Manchester City mempamerkan apa yang disifatkannya sebagai prestasi terbaik mereka di St James’ Park, ketika menewaskan Newcastle United dalam saingan Piala FA.

Tetapi sejak itu, kekalahan 3-0 kepada Real Madrid di UEFA Champions League serta keputusan seri menentang West Ham United menyebabkan peluang mereka dalam UEFA Champions League dan Premier League kini ibarat berada di hujung tanduk.

“Pada akhirnya, kami memerlukan kreativiti dan kami sedang bergelut musim ini.”

“Kami sepatutnya lebih baik di kawasan sepertiga akhir. Tetapi kami tidak melakukannya. Perkara ini sudah berlaku dalam banyak perlawanan musim ini.”

“Kekurangan gol — sudah tentu kami merinduinya [merujuk kepada sumbangan Erling Haaland.”

“Saya sentiasa percaya semuanya bergantung kepada hubungan antara pemain dan banyak perkara lain yang menghasilkan interaksi yang baik. Tetapi Erling, kami memerlukan gol daripadanya.”

“Kami perlu mencipta lebih banyak peluang. Seperti dalam babak pertama, dia mempunyai tiga peluang di sana. Kami perlu mencipta ancaman seperti itu kerana kadang-kadang kami tidak melakukannya.

“Dia akan kembali,” tambah Pep Guardiola lagi.

Sumber