Pemenang Kejuaraan Eropah 2008, Dani Guiza menasihati ayah kepada Lamine Yamal supaya menjauhkan sedikit dirinya dengan karier hebat dinikmati bintang muda tersebut.

Walaupun pemain sayap berusia 18 tahun itu terus menyerlah dengan prestasi cemerlang di atas padang, kehidupan peribadinya kini menjadi perhatian serius kelab.

Baca Juga:

Pengaruh bapanya, Mounir Nasraoui dilaporkan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pihak pengurusan yang bimbang hal di luar padang itu boleh menjejaskan perkembangan karier anak muda berpotensi besar ini.

Ia dibuktikan apabila Nasraoui dilihat sangat aktif di media sosial dan sering muncul dalam temu bual. Malah, beliau juga antara penyokong paling lantang sejak kemunculan awal anaknya di pentas bola sepak profesional.

Malah ibu Lamine Yamal, Sheila Ebana juga dikatakan sudah mula ‘menunggang’ populariti anaknya itu.

Pernah beraksi bersama Barcelona B, Getafe dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Guiza turut melihat dan memiliki pendapat yang sama berhubung pengaruh orang di sekeliling Yamal.

Nasihat Guiza Demi Karier Lamine Yamal

“Lamine Yamal memang sangat berbakat tapi ayahnya sepatutnya berundur sedikit demi kebaikan anaknya sendiri.”

“Dia berpotensi menjadi antara pemain terbaik dunia tapi jika orang di sekelilingnya tidak membantu, dia boleh tersekat. Pada usia sebegitu, fikiran cepat berubah.”

“Yang bermain bola sepak itu dia, bukan ayahnya,” ujar Dani Guiza menurut sumber laporan bein Sports.

Kenyataan dikeluarkan Guiza itu bukanlah pandangan terpencil dan serangan peribadi ke atas keluarga Yamal. Hal ini kerana FC Barcelona sendiri, barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab turut berkongsi kebimbangan yang sama.

 

Sumber