Cuaca panas terik dan jerebu yang melanda sejak belakangan ini memang membuatkan ramai antara kita tidak senang duduk. Buka kipas angin terasa bahangnya, akhirnya pendingin hawa terpaksa dipasang berjam-jam.

Namun, apabila tiba penghujung bulan, angka pada resit bil elektrik pula yang membuatkan ramai gelisah.

“Mana tidak melonjak bil bulan ini, aircond buka siang malam sebab cuaca panas sangat,” rungut seorang pengguna apabila melihat kadar penggunaan elektrik rumahnya melangkaui julat biasa.

Memahami kesukaran serta tekanan sara hidup yang dihadapi rakyat saat ini, Kerajaan MADANI tampil mengambil tindakan segera dengan mengumumkan berita yang membawa lega.

Perlindungan Diperluas Sehingga 800 kWj

Menerusi hantaran terkini PMX di Facebook peribadinya, kerajaan telah memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik dengan memperluaskan tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Langkah penambahbaikan ini berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik bermula September hingga 31 Disember 2026.

Menerusi peluasan ini, isi rumah yang mencatatkan penggunaan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan khusus.

Pengguna dalam kategori ini menikmati pengecualian bagi Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan, serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Setinggi-tinggi penghargaan turut dizahirkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta Suruhanjaya Tenaga (ST) atas peranan pantas mereka dalam membolehkan inisiatif ini dilaksanakan serta-merta.

Keadaan Cuaca Dorong Peningkatan Bil

Keadaan jerebu dan suhu panas melampau mutakhir ini menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan isi rumah.

Keadaan tersebut menyebabkan penggunaan bulanan ramai pengguna melepasi paras 600 kWj dan seterusnya mengalami kenaikan bil yang luar biasa.

Bagi memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara, Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk sentiasa memantau rapi pergerakan kos bahan api dan pasaran tenaga semasa.

Sebarang keputusan berhubung tarif elektrik pada masa hadapan akan sentiasa mengambil kira keseimbangan antara kemampuan hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik, dan kemampanan sektor tenaga negara.