Musim perayaan di Malaysia sering kali diwarnai dengan bunyi dentuman mercun dan suasana meriah bersama keluarga. Namun, di sebalik kemeriahan itu, isu habuk serta sisa letupan yang mengotori kawasan rumah atau kenderaan jiran sering mencetuskan perdebatan.
Berbeza dengan sebuah kisah yang tular di laman Threads baru-baru ini, sikap penuh tanggungjawab seorang jiran berbangsa India berjaya mencuri perhatian warganet dan mempamerkan erti sebenar keharmonian hidup bermasyarakat.
Selesai Main Mercun, Terus Basuh Kereta Jiran
Kisah ini mula dikongsikan oleh seorang pengguna akaun Threads dikenali sebagai mhrm_ysf, yang memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediamannya.
Rakaman yang bertarikh awal pagi itu memaparkan jirannya sedang menyembur air menggunakan paip getah bukan sahaja pada halaman sendiri, malah membersihkan kereta jenis Proton X50 milik mhrm_ysf yang diletakkan di luar pagar.
Difahamkan, tindakan itu dilakukan secara sukarela selepas sesi bermain mercun selesai, bertujuan membersihkan habuk dan debu letupan yang mungkin terlekat pada permukaan kenderaan tersebut.
“Jiran aku habis je main mercun terus cuci, sampai kereta aku pun dia cuci. Alhamdulillah dapat jiran yang baik dan ada common sense. Happy Deepavali semua,” tulis mhrm_ysf dalam hantaran berkenaan sambil menitipkan rasa syukur memiliki jiran yang peka.
Keharmonian Yang Berpanjangan Sejak Hari Raya
Rupa-rupanya, sikap bertimbang rasa lelaki berkenaan bukanlah perkara baharu atau sekadar dibuat-buat ketika perayaan Deepavali sahaja.
Menurut mhrm_ysf, jiran yang sama sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati sepanjang mereka berjiran, termasuk ketika sambutan Aidilfitri sebelum ini.
“Sebenarnya bukan Deepavali saja, masa raya puasa dia sanggup alihkan kereta dia park belakang rumah supaya tetamu kami boleh tumpang park dekat depan rumah dia,” tambahnya lagi.
Sikap saling memudahkan urusan ini membuktikan bahawa toleransi dan keharmonian antara kaum di Malaysia terbentuk melalui tindakan kecil seharian yang ikhlas, tanpa perlu menunggu acara besar untuk menunjukkannya.
Netizen Kagum, Anak Turut Kongsi Sudut Pandang Ayah
Perkongsian video tersebut pantas meraih jutaan tontonan serta puluhan ribu tanda suka.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum terhadap keperibadian lelaki berkenaan yang disifatkan mempunyai akhlak serta sivik yang sangat tinggi.
“Hebat akhlak dia, salute orang macam ni,” komen salah seorang pengguna Threads, manakala seorang lagi warganet berseloroh, “Suka sangat jiran bertoleransi macam ni. Nak main mercun lagi banyak kali pun silakan, kereta pun auto berkilat!”
Menariknya, anak kepada lelaki tersebut yang menggunakan akaun niran.j5 turut memuat naik video dari sudut pandang mereka sendiri.
Video berkenaan memperlihatkan bapanya sedang tekun membasuh tiga buah kereta sekali gus di luar rumah demi memastikan kawasan kejiranan kekal bersih.
“Lepas main mercun, terus appa mandikan kereta sendiri dengan tiga kereta jiran sekali,” kongsi si anak, sambil menambah bahawa bapanya turut tergelak gembira apabila membaca komen-komen positif daripada rakyat Malaysia.
Kisah sederhana ini menjadi peringatan bahawa keharmonian masyarakat majmuk tidak memerlukan retorik yang rumit.
Rasa empati, sifat bertanggungjawab, dan keprihatinan asas terhadap orang sekeliling sudah cukup untuk mengekalkan keindahan perpaduan yang sekian lama terjalin di bumi Malaysia.