Saingan BWF World Tour Finals 2025 akan bermula pada 17 Disember nanti yang menyaksikan lapan pemain atau pasangan terbaik sepanjang tahun akan berentap di Hangzhou, China.
Selain menjadi saingan terakhir bagi tahun 2025, World Tour Finals merupakan kejohanan dengan format berbeza berbanding yang dapat kita saksikan seperti kebiasaan dan tidak semua pemain dapat merasai pengalaman ini.
Baca Juga:
- Senarai Pemain Malaysia Akan Beraksi Di BWF World Tour Finals 2025

- Tang Jie-Ee Wei Muncul Naib Juara BWF World Tour Finals 2024

- Ini Ranking Dunia Terkini Pemain Badminton Malaysia (Minggu Ke-50, 9 Disember 2025)

Ia menjadikan saingan tersebut sebagai antara kejohanan istimewa kerana daripada lapan yang layak, mereka akan diundi kepada dua kumpulan.
Perlu beraksi dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, pemain atau pasangan yang menghuni dua tangga teratas akan mara ke aksi separuh akhir.
Format yang hampir serupa dengan Sukan Olimpik tetapi ia hanya melibatkan lapan wakil sahaja bagi setiap kategori.
Ini bermakna pemain yang tewas pada perlawanan pertama BWF World Tour Finals 2025 masih belum tersingkir dan perlu bangkit pada dua lagi baki aksi peringkat kumpulan.
Di samping aksi lebih banyak dapat dilalui pemain, Persektuan Badminton Antarabangsa (BWF) turut menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan buat para pemain dalam kejohanan ini.
Hadiah Keseluruhan BWF World Tour Finals 2025
$3,000,000 (RM12,268,807.87)
Kedudukan Keempat Peringkat Kumpulan
Pemain perseorangan lelaki dan wanita yang menamatkan saingan di kedudukan terakhir peringkat kumpulan akan membawa pulang wang tunai bernilai $18,000 (RM73,617.47).
Pemain dalam acara beregu lelaki, wanita dan campuran pula menerima $21,000 (RM85,890.69).
Kedudukan Ketiga Peringkat Kumpulan
Pemain yang menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan bagi perseorangan lelaki dan wanita akan meraih wang tunai $33,000 (RM134,971.26) manakala beregu lelaki, wanita dan campuran pula dengan $39,000 (RM159,511.48).
Tewas Di Separuh Akhir
Pemain yang terhenti perjalanan mereka di separuh akhir bagi semua acara akan menerima wang tunai bernilai $60,000 (RM245,395.62).
Naib Juara
Pemain yang tewas di perlawanan akhir bagi kesemua acara akan menerima $120,000 (RM490,807.42).
Juara
Hadiah lebih besar pastinya menanti pemenang apabila juara perseorangan lelaki dan wanita akan membawa pulang $240,000 (RM981,566.29) manakala juara beregu lelaki, wanita dan campuran pula bakal menerima $252,000 (RM1,030,644.67).
Selain daripada hadiah lumayan tersebut, BWF turut akan membayar semula kos penerbangan para pemain sekiranya mereka terbang ke Hangzhou dengan kelas ekonomi.