Siri Jelajah Dunia (World Tour) kejohanan badminton anjuran Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) semakin menghampiri penghujung.
Penutup saingan tahun ini bakal menyaksikan lapan wakil bagi setiap kategori akan bersaing dalam BWF World Tour Finals 2025 yang bakal diadakan di Hangzhou, China.
Lima wakil negara akan turut serta bersaing dalam pertandingan bermula 17 hingga 21 Disember itu.
Cabaran kem negara kali ini disandarkan dalam acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran bagi memburu kejuaraan yang menawarkan wang tunai cukup lumayan itu.
Berikut merupakan lima wakil Malaysia yang akan beraksi dalam BWF World Tour Finals 2025 nanti:
BWF World Tour Finals 2025
1) Aaron Chia-Soh Wooi Yik – Beregu Lelaki
Pasangan ranking kedua dunia ini mengumpul 95,320 mata untuk turut berada di kedudukan kedua dalam senarai ‘HSBC Race To Finals’.
Walaupun sekadar meraih pingat perak dalam Sukan SEA 2025 minggu lalu, gandingan ini masih diharapkan untuk menjelmakan keputusan positif di China.
2) Man Wei Chong-Tee Kai Wun – Beregu Lelaki
Wei Chong-Kai Wun mengumpul 86,730 mata untuk menjadi pasangan pilihan keempat kejohanan.
3) Pearly Tan-M. Thinaah – Beregu Wanita
Enam kali mara ke pentas final kejohanan BWF dimana tiga daripadanya muncul juara membolehkan Pearly dan Thinaah berada di kedudukan teratas dengan 109,740 mata.
4) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei – Beregu Campuran
Juara dunia ini berada di kedudukan ketiga dalam senarai ‘HSBC Race To Finals’ setelah mengumpul 91,910 mata.
Selain kejayaan manis di Paris itu, Tang Jie-Ee Wei menjuarai Terbuka Australia dan naib juara China Masters.
5) Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai – Beregu Campuran
Pasangan suami isteri ini berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 80,390 mata untuk memastikan tempat mereka ke Hangzhou.