Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kejadian di luar jangkaan tahun ini, namun rakyat Malaysia terutamanya- mereka yang memerlukan boleh menarik sedikit nafas lega dengan kelibat dan kehadiran penceramah serta pendakwah Ebit Liew yang sepertinya akan tampil di mana sahaja mereka yang memerlukan bantuan ini berada.

Daripada menghulurkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada yang kurang berkemampuan sehingga membina pasar raya dengan harga berpatutan, Ebit Lew kini baru-baru ini turut melawat pusat kawalan sempadan negara di utara tanah air susulan perkembangan terbaru di sana ketika ini.

Selasa lalu, media melaporkan berlakunya kejadian tembak-menembak antara anggota keselamatan negara dengan kumpulan penyeludup dari Thailand yang turut mengakibatkan kematian seorang anggota PGA, mendiang Koperal Baharuddin Ramli serta kecederaan parah kepada Koperal Norihan a/l Tari dalam kejadian yang berlaku kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Sejurus menerima perkembangan mengenai insiden berkenaan, Ebit dalam satu hantaran yang dibuat di akaun Facebook-nya pada semalam berkongsikan telah menziarahi kawasan berkenaan bagi melihat keadaan semasa serta berkongsikan nasihat dan doa kepada bersama perajurit-perajurit negara di sana.

“Dah lewat semalam dari Hospital Alor Setar terus ke Hospital Perlis dan ziarah pusat-pusat kawalan sempadan. Mereka minta berkongsi nasihat dan doa.

“Sebak sayu bila mereka kata kami semua terkejut tak percaya ustaz sudi datang ke sini. Tengok ustaz buat kami rasa semangat. Terharu (dengan) pengorbanan mereka,” kata Ebit.

Menerusi lawatannya ke pusat kawalan sempadan negara itu, Ebit berkata beliau juga dapat merasai pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas 24 jam sehari menjaga sempadan negara.

Kisah mengenai pertempuran yang berlaku sebelum itu juga jelasnya membuatkan beliau sebak dan meningatkan dirinya tentang amanah yang dipegang petugas-petugas keselamatan ini dalam bekerja.

“Lain suasana tempat mereka bertugas. Sebak dengar kisah saat akhir pejuang negara ini.

“Menembak sehingga habis peluru dan akhirnya letak senapang di dada. Betapa amanah mereka ini dalam menjalankan tugas.

Tambah Ebit lagi, petugas-petugas keselamatan ini bukan sahaja berkorban dan amanah dalam menjaga sempadan malah ada di kalangan mereka ini sudah lama berjauhan dengan keluarga.

Jelasnya, ada dalam kalangan mereka ini yang sudah sebulan bertugas di kawasan berkenaan dan tidak kurang juga ada yang masih belum berjumpa dengan ahli keluarga sepanjang siri perintah kawalan pergerakan ketika ini.

“Sedang kita tidur lena dan makan sedap mereka jaga negara 24 jam. Bergilir kerja tanpa waktu masa.

“Berjauhan dengan keluarga. Sebulan dan lebih duduk dalam hutan ini. Musim PKP ini lagi ada yang langsung tak jumpa anak isteri lagi,” kongsi Ebit di hantaran berkenaan.

Baca juga perkongsian lain mengenai Ebit Lew yang pernah kami laporkan sebelum ini melalui pautan di bawah.

Pilu Dengan Pemergian Siti Nur Surya, Ebit Lew Ziarah Keluarga Arwah Di Terengganu

Selepas ElewsMart, Ebit Lew Wujudkan ‘Food Bank’ Khas Untuk Membantu Golongan Yang Memerlukan

Tular Video Jagung Dirampas Penguatkuasa Di Selayang, Penjual Terharu Terima Bantuan Ebit Lew

Sumber