Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan sebuah platform media sosial, Halal Inquiry Company Direktori (HICD), yang menular berkongsi kandungan serta kenyataan berkaitan isu halal baru-baru ini.

JAKIM menegaskan secara mutlak bahawa HICD tidak mempunyai sebarang pertalian, tidak diiktiraf, dan tidak pernah diberikan sebarang mandat atau kuasa berhubung hal ehwal Pensijilan Halal Malaysia, petik kenyataan rasmi.

“Segala bentuk kenyataan, ulasan, siasatan, mahupun penilaian yang dikeluarkan oleh HICD adalah atas kapasiti pihak mereka sendiri. Ia sama sekali tidak mewakili pendirian, keputusan, atau kenyataan rasmi daripada pihak JAKIM.

“Walaupun usaha meningkatkan kesedaran tentang status halal itu penting, JAKIM mengingatkan bahawa setiap perkongsian mestilah bersandarkan fakta dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Ia tidak seharusnya mencetuskan sebarang kekeliruan, prasangka, atau menyentuh sensitiviti mana-mana individu mahupun kaum.

“Memandangkan kepelbagaian latar belakang merupakan asas keharmonian negara kita, segala penyampaian maklumat berkaitan halal perlulah dibuat dengan penuh hikmah dan berhemah,” kata JAKIM.

Sehubungan itu, JAKIM menyeru orang awam agar tidak membuat sebarang kesimpulan semberono berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Sebarang pengesahan berhubung status Pensijilan Halal Malaysia hendaklah dirujuk terus melalui Portal Rasmi Halal Malaysia atau saluran rasmi JAKIM.

Pihak jabatan sentiasa komited dalam memastikan kefahaman masyarakat mengenai isu halal disalurkan secara tepat, berautoriti, dan berlandaskan fakta yang sahih demi kesejahteraan bersama.

Sumber