Saban hari kos barangam semakin meningkat dan menghimpit orang ramai, tidak kira sama ada daripada sudut pembeli mahupun peniaga.

Kira-kira 8,000 peniaga makanan di sini, dijangka gulung tikar menjelang akhir tahun ini, berikutan kenaikan mendadak harga bahan mentah yang menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil dan mengalami kerugian.

Baca Juga:

Aktivis Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru, Mohammad Salezan Mohd Salleh, berkata kenaikan harga bahan mentah yang konsisten sejak berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, adalah antara faktor menyebabkan peniaga makanan terutama pengusaha kecil kian terhimpit, petik Berita Harian.

Katanya, kenaikan harga bahan mentah itu turut memaksa lebih 10,000 peniaga yang berdaftar sebagai ahli persatuan itu terpaksa menaikkan harga makanan dijual secara berperingkat sejak awal tahun ini.

Kesannya, kedatangan pelanggan turun sehingga 20 peratus sejak awal tahun lalu, sekali gus menjejaskan 80 peratus daripada jumlah ahlinya.

“Peniaga makanan kini semakin terhimpit berikutan kenaikan harga bahan mentah dan kekurangan pelanggan, sejak awal tahun lalu.

“Hasil aduan ahli sejak awal tahun lalu, mereka mendakwa kedatangan pelanggan menurun lebih 20 peratus sejak harga makanan dinaikkan secara berperingkat sekali gus menyebabkan margin keuntungan menyusut. Malah ramai peniaga merekodkan kerugian berikutan risau menaikkan harga makanan lebih tinggi susulan bimbang kehilangan lebih ramai pelanggan pada masa akan datang.

“Jika tahun lalu nasi ayam dijual pada harga antara RM7 hingga RM8 namun kenaikan harga bahan mentah menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan itu kepada RM10 ketika ini.

“Peniaga makanan terjejas kini semakin terhimpit dan jika mereka tidak mampu menangani kos operasi yang semakin tinggi terutama bahan mentah yang terus melonjak, sebahagian besar akan gulung tikar menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Dalam pada itu, Mohammad Salezan berkata, pelbagai inisiatif diambil persatuan bagi membantu peniaga terhimpit termasuk mengadakan bengkel khas termasuk bersama pelbagai agensi kerajaan.

“Persatuan juga sudah memaklumkan isu ini kepada kerajaan negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor bagi mencari penyelesaian bersama,” katanya.

Sumber