Hari ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan kenaikan harga santan segar sejak November tahun lalu berpunca daripada kenaikan harga kelapa diimport dari Indonesia.
Memetik laporan Kosmo, harga bahan mentah itu naik ekoran peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.
Baca Juga:
- Sekumpulan Aktivis Protes Eksploitasi Buruh Monyet Kutip Kelapa
- Mat Saleh Ini Terpaksa Dapatkan Rawatan Selepas Kupas Buah Kelapa Dengan Gigi
- Terima Bungkusan Dalam Kelapa, Gaya Kreatif Peniaga Di Shopee Ini Raih Perhatian Netizen
Jelasnya lagi faktor kekurangan santan segar di Malaysia juga disebabkan petani tempatan memilih menjual kelapa muda berbanding kelapa tua.
“Kebanyakan penanam kelapa di negara ini memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat. Ini juga memberi kesan kepada harga kelapa tempatan berikutan permintaan lebih tinggi.
“Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (Famaco) telah menggerakan langkah menstabilkan harga dengan memastikan bekalan diperoleh.
Difahamkan sehingga Selasa lalu, FAMA dan Famaco telah membawa masuk bekalan kelapa tua dikupas sebanyak 734 tan metrik dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM2.01 juta.
Kemudian bekalan kelapa tua tersebut diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA.
Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara.
“Indonesia tidak kurangkan jualan kelapa kepada Malaysia cuma naikkan harga. Itu hak mereka kerana pasaran kelapa bergantung kepada permintaan dan penawaran,” katanya.