Harga telur di negara ini dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, petik Utusan.

Peningkatan itu susulan kekangan bekalan, gangguan cuaca ekstrem, dan penutupan beberapa ladang ternakan.

Menurut nota penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB), pasaran telur tempatan kini berada pada fasa peralihan berikutan isu lebihan bekalan dan kejatuhan harga di peringkat ladang sebelum ini selepas penarikan sepenuhnya subsidi oleh pihak kerajaan.

“Perubahan pasaran ini jelas kelihatan menerusi pemulihan harga telur Gred C daripada sekitar 20 sen sebiji pada April dan Mei kepada kira-kira 33 sen pada akhir Jun, sebelum terus melepasi paras 40 sen pada Ogos.

“Kenaikan harga ini didorong oleh penutupan ladang ternakan di Perak serta peningkatan kos makanan ternakan, menyaksikan harga jagung dan kacang soya masing-masing melonjak lebih 10 peratus setakat tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Memetik Utusan lagi, isu kenaikan ini turut diakui oleh pihak industri. Pengurusan QL Resources Bhd. (QL) mengesahkan bahawa trend peningkatan harga dijangka dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Mengulas lanjut, HLIB menjelaskan fenomena El Nino turut memberi tekanan besar kepada produktiviti ayam penelur, terutamanya di ladang-ladang jenis terbuka akibat keadaan cuaca yang terlalu panas.

 

Sumber