Bagi menghargai penyokong setia yang pantas mendapatkan pas bermusim 2024/25, Perak FC bakal memberikan peluang buat mereka untuk menyaksikan sesi latihan pasukan secara dekat.

Hal ini kerana kelab yang kini semakin aktif memperkenalkan pemain baharu itu bakal mengadakan sesi latihan terbuka pada 9 Mac ini di Kompleks Bolasepak Perak, Chepor.

Baca Juga:

Para pemegang pas bermusim diberikan peluang untuk berada di ruangan pentas utama (grandstand) pusat latihan tersebut tetapi jumlah yang dibenarkan tertakluk kepada had ditetapkan.

Manakala, bagi yang tidak membeli pas bermusim, jangan terlalu kecewa kerana pihak pengurusan Perak juga telah mengambil inisiatif dalam meletakkan kerusi bertingkat di kawasan luar kompleks (belakang pintu gol) untuk tujuan keselesaan penyokong.

Sesi latihan yang bermula 4.30 petang hingga 7.30 petang akan turut dimeriahkan dengan jualan barangan rasmi Perak FC termasuk pas bermusim dan pendaftaran ahli TBG Superfan.

Malah, peminat dengan pas bermusim turut diberikan peluang untuk beramah mesra serta bergambar bersama para pemain.

Pada musim ini menyaksikan Perak telah mengeluarkan tiga jenis pas bermusim untuk memberikan lebih pilihan kepada para penyokong setia.

Ia terdiri daripada pakej SILVER (RM189.00) , GOLD (RM300.00) dan BLACK (RM1250.00) dimana para penyokong yang membeli pas tersebut akan dapat menyaksikan kesemua perlawanan “Home” yang membabitkan pasukan Perak FC.

Kredit Foto: Perak Football Club

Musim 2024/25 nyata membuatkan para penyokong Perak lebih teruja apabila sudah sembilan pemain baharu diperkenalkan skuad Yob tersebut.

Pemain yang dimaksudkan ialah Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Haziq Nadzli, Luiz Henrique Motta (Brazil), Lee Tae Min (Korea Selatan), Adilet Kanybekov (Kyrgyzstan), Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid, Nur Azfar Fikri Azhar dan Tommy Mawat.