Skuad Harimau Malaya meneruskan rentak kemenangan selepas mengejutkan Palestin 1-0 pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kejayaan manis itu menamatkan penantian panjang selama 24 tahun buat skuad negara yang kali terakhir menang ke atas Palestin pada 25 Mac 2001.

Baca Juga:

Beraksi tanpa trio pertahanan utama iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal dan Dion Cools, bukanlah menjadi satu masalah besar buat skuad Harimau Malaya.

Ia berikutan aksi baik ditampilkan Shahrul Mohd Saad, Harith Haiqal Adam Afkar dan Dominic Tan ketika mengemudi jentera pertahanan negara.

Perlawanan Persahabatan: Harimau Malaya Mengaum Lagi, Tundukkan Palestin 1-0
Joao Vitor Figueiredo terus cemerlang ledak jaringan. Kredit Foto: Malaysia NT

Harimau Malaya Mengaum

Lawan yang berada di ranking ke-98 dunia itu tersentak seawal minit ketiga apabila Joao Vitor Figueiredo berjaya membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada satu hantaran lintang rendah cantik dilakukan Quentin Cheng di sebelah kiri pintu gol Palestin, Figueiredo pantas menguis masuk bola bagi meletakkan Malaysi dihadapan.

Corak serangan berpaksikan hantaran lintang menerusi Quentin jelas di sebelah sisi jelas cukup berbahaya buat Palestin.

Skuad negara kemudiannya meneruskan penguasaan dan hampir menambah jaringan dengan tiga percubaan dalam tempoh lima minit.

Namun, rembatan padu dari jarak jauh oleh Shahrul Saad, rembatan Figueiredo dalam kawasan penalti serta percubaan ‘placing’ Arif Aiman Hanapi selepas melakukan larian solo diselamatkan dengan cukup baik penjaga gol Palestin, Rami Hamada.

Perlawanan Persahabatan: Harimau Malaya Mengaum Lagi, Tundukkan Palestin 1-0
Arif Aiman beraksi cemerlang. Kredit Foto: Malaysia NT

Memasuki minit ke-33, Palestin pula mendapatkan peluang terbaik tetapi rembatan jarak dekat Badr Mousa digagalkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Dua minit kemudian sekali lagi hantaran lintang Quentin hampir menghadirkan jaringan kedua buat skuad negara, tetapi Rami lebih bersedia untuk menolak keluar percubaan Gabriel Palmero.

Aksi babak kedua pula menyaksikan Palestin lebih menguasai permainan dalam usaha untuk mendapatkan jaringan penyamaan terutamanya selepas Arif Aiman dan Figueiredo dikeluarkan.

Bagaimanapun jentera pertahanan skuad Harimau Malaya kental bertahan dan Syihan juga tidak melakukan sebarang kesilapan bagi membolehkan gawangnya langsung tidak dibolosi pada perlawanan ini.

Paling mendebarkan pastinya ketika sepakan percuma Wessam Abou Ali yang singgah di tiang gol pada masa kecederaan.

Lebih menarik selepas lima pertemuan sesama sendiri, ia merupakan pertama kali skuad negara tidak dibolosi ketika berhadapan dengan Palestin.

Dengan dua kemenangan dicatatkan pada ‘FIFA Matchday’ kali ini tambahan pula kejayaan menundukkan lawan yang berada di ranking bawah 100, perubahan dalam ranking dunia akan dapat disaksikan buat skuad kendalian Peter Cklamovski ini.