Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi apabila disahkan mengalami kecederaaan.

Beliau merupakan pemain ketujuh yang masuk dalam senarai kecederaan selepas Syafiq Ahmad, Darren Lok, Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.

Baca Juga:

Bagaimanapun, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak akan memanggil pemain lain bagi menggantikan tempat Syihan Hazmi kerana kekal dengan pemain sedia ada.

Tiga penjaga gol sedia beraksi iaitu Kalamullah Al-Hafiz, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Kem latihan pusat Harimau Malaya kini disertai oleh enam lagi pemain iaitu Dion Cools bersama lima pemain JDT iaitu Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Shahrul Saad, Feroz Baharudin dan Endrick dos Santos.

Harimau Malaya Terus 'Tempang', Giliran Syihan Hazmi Digugurkan
FOTO: FAM

Mereka telah turun menjalani sesi latihan bersama malam tadi manakala pemain Selangor FC, Nooa Laine akan menyertai pasukan pada Isnin, 3 Jun 2024 bagi melengkapkan 25 pemain yang akan terbang ke Bishkek, Republik Kyrgyz pada Selasa.

Daripada senarai itu, Pan Gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain daripada skuad ketika menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada Khamis, 6 Jun dan Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.

Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.