Pemain pertahanan negara, Harith Haiqal meluahkan rasa keterujaan beliau apabila Nidzam Jamil dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Selangor bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

Harith tersenarai dalam skuad senior bimbingan Kim Pan-gon bagi menghadapi Oman dalam aksi pusingan kedua saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 21 dan 26 Mac ini.

Baca Juga:

Bercakap kepada media sebelum terbang ke Muscat, Harith Haiqal memberi pendapat beliau mengenai pelantikan Nidzam sebagai ketua jurulatih baharu Selangor.

“Saya gembira dengan pelantikan Nidzam sebagai ketua jurulatih kerana sejak tiga musim yang lalu, beliau memegang jawatan sebagai penolong. Dia mengenali semua pemain dan itu merupakan kelebihan bagi beliau.

“Di atas padang, Nidzam Jamil seorang yang tegas. Di luar padang, dia menganggap kami seperti keluarga. Apa yang saya boleh katakan ialah beliau seperti seorang figura ayah yang sentiasa memberikan nasihat mengenai kehidupan dan juga bola sepak,” katanya dipetik dari laporan The Star.

Pada masa yang sama, pemain berusia 21 tahun itu tidak menyangka dapat menambat hati Pan-gon dan seterusnya tersenarai dalam skuad bagi menghadapi saingan pusingan kedua kelayakan kali ini.

“Saya tidak menyangka akan berada dalam skuad akhir tetapi saya rasa ini adalah rahmat di bulan Ramadan. Nasib membantu kadang-kadang tetapi saya tidak melihatnya seperti itu. Saya telah bekerja keras untuk berada di waktu seperti ini. Saya memberikan segala-galanya semasa kem latihan pusat, dan peluang ini telah datang kepada saya. Saya tidak percaya bahawa saya menaiki penerbangan ke Muscat,” tambahnya.