Selangor FC (SFC) hari ini sebulat suara mengumumkan Nidzam Jamil selaku Ketua Jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Tan Cheng Hoe mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Pemilihan Nidzam turut disambut baik oleh para penyokong setia Gergasi Merah kerana beliau cukup mengenali pemain SFC dan berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Kami telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif, serta melihat keupayaan yang telah ditunjukkan oleh Nidzam semasa beliau berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk musim-musim sebelum ini.

“Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali para pemain SFC. Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran SFC bagi musim 2024/2025,” jelas Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif SFC.

Dilahirkan dan membesar di pekan Kajang, Nidzam Jamil merupakan bekas pemain Selangor pada tahun 2000 hingga 2004.

Antara pencapaian beliau sebagai pemain Gergasi Merah adalah kejayaan menjulang Piala FA 2001, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada tahun 2002.

Selain rekod cemerlangnya sebagai seorang pemain, beliau juga telah mencipta rekod yang baik sebagai Ketua Jurulatih sejak dari 2010 bersama SPA FC dan Felda United FC.

Sebelum ini, Nidzam pernah menjadi Penolong Ketua Jurulatih kepada Michael Feichtenbeiner. Pada tahun yang sama, beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih ‘interim’ untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk tahun seterusnya selepas pelantikan Tan Cheng Hoe pada ketika itu.

Dengan pelantikan ini, Nidzam Jamil berpeluang membuktikan keupayaan beliau di pentas Asia apabila SFC beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL 2) nanti.