Pasukan Selangor mungkin menggunakan kombinasi antara ketua jurulatih tempatan dan pembantu jurulatih dari luar negara bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan saingan AFC Champions League (ACL) 2 musim ini.

Perkara ini disuarakan oleh pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid dimana beliau menegaskan pihaknya sedang meneliti beberapa calon bagi membantu Nidzam Jamil mengendalikan pasukan.

Baca Juga:

“Perancangan untuk tambah barisan kejurulatihan itu memang ada lebih-lebih lagi Nidzam Jamil sudah dilantik ketua jurulatih baharu. Dalam hal ini, kita terbuka untuk mana-mana jurulatih yang berminat.

“Apa yang boleh saya cakap setakat ini, calon yang kita teliti merupakan jurulatih tempatan dan import. Kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Selangor
Sumber Gambar: SFC

Musim lalu, Tan Cheng Hoe dibantu oleh Nidzam dan seorang lagi pembantu iaitu Ramon Marcote dimana ketiga-tiga jurulatih ini berjaya membawa Selangor beraksi di pentas Asia musim ini.

Setelah saingan musim 2023 tamat, Ramon kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan Selangor dan menyertai sebuah kelab Eropah iaitu Ethnikos Achnas yang berpangkalan di Cyprus.

Keputusan tersebut diambil selepas beliau dipukul ketika aksi separuh akhir Piala FA, Jun lalu. Menurut sumber, penolong jurulatih itu dipercayai dipukul sebaik tamat perlawanan membabitkan dua gergasi bola sepak tanah air sebelum dileraikan pegawai pasukan yang berada di lokasi kejadian.

Nidzam dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Cheng Hoe yang menamatkan kontraknya dengan lebih awal bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih kelab Thailand, Police Tero.

Police Tero baru-baru ini menggunakan fasiliti latihan milik Johor Darul Ta’zim (JDT) dan mengadakan dua perlawanan pemanas badan menentang kelab dari Selatan tanah air itu.