Bekas ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe berpendapat Nidzam Jamil merupakan individu yang tepat bagi menggantikan beliau sebagai ketua jurulatih skuad Gergasi Merah.

Cheng Hoe memutuskan untuk meninggalkan Selangor dan menerima tawaran untuk mengendalikan sebuah kelab di Thailand iaitu Police Tero dan kini bekas majikannya itu sedang mencari pengganti sebelum saingan Liga Malaysia musim 2024/25 bermula.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Jurulatih berusia 55 tahun itu percaya Nidzam yang juga pembantunya sebelum ini akan menjalankan tugas yang baik dan diterima dengan baik oleh pemain.

Nidzam Jamil
Kredit Foto: Selangor FC

“Saya telah mengawasi beliau dan dia mempunyai potensi. Nidzam akan melakukan kerja yang baik. Semasa dia menjadi pembantu saya, dia banyak membantu serta mendorong kami untuk bermain dengan baik musim lalu,” katanya dipetik dari laporan NST.

Nidzam Jamil ketika ini dilantik sebagai pengendali sementara Selangor dimana pasukan itu sedang membuat persiapan menjelang saingan musim ini di Thailand.

Cheng Hoe berjaya mengutip mata pertama bersama Police Tero ketika seri menentang Nakhon Pathom dengan keputusan 1-1 dalam saingan liga pada Sabtu lalu.

Menurut bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu, keputusan beliau untuk menerima tawaran dari Police bagaikan satu mimpi jadi kenyataan.

Selama ini saya mempunyai sasaran untuk meneruskan karier di luar negara. Apabila Police Tero memberikan tawaran, saya terus mengambilnya. Bila lagi tawaran sebegitu akan datang kepada saya?

“Saya tidak berfikir panjang walaupun kedudukan kelab di tangga ke-13, dimana mereka sedang bergelut di zon penyingkiran. Kalau saya berjaya membantu mereka kekal dalam liga, saya mungkin terus di sini. Jika tidak, maka saya akan mencari peluang di tempat lain,” katanya.

Police Tero sebelum ini dibimbing oleh legenda Thailand, Worrawoot Srimaka selaku pengendali sementara dan dengan kehadiran jurulatih berusia 55 tahun itu, Worrawoot kini menggalas tugas sebagai pengarah teknikal kelab.