Bekas penolong jurulatih pasukan Selangor, Ramon Marcote mendedahkan sebab utama mengapa beliau meninggalkan skuad Gergasi Merah selepas saingan Liga Malaysia musim lalu melabuhkan tirai.

Menurut laporan Majoriti, Ramon menegaskan tiada perpanjangan kontrak menjadi sebab mengapa beliau meninggalkan Selangor kerana jurulatih kelahiran Sepanyol itu hanya menandatangani kontrak selama setahun.

“Ia mudah, kerana saya hanya menandatangani satu tahun kontrak bersama Selangor, dan ia tamat begitu sahaja,” katanya sambil menegaskan, penamatan kontraknya tiada kena mengena dengan insiden di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jun 2023.

“Tidak pernah ada perbincangan untuk melanjutkan kontrak, kami berterima kasih dan mengucapkan selamat tinggal. Impian utama saya adalah untuk menjadi ketua jurulatih, dan saya sentiasa mengusahakan impian itu,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ramon Marcote berharap Nidzam Jamil dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai ketua jurulatih musim ini.

“Saya gembira Nidzam (Jamil) meraih keputusan yang bagus bersama Selangor, kerana dia adalah individu yang hebat dan mahu melakukan sesuatu dengan baik.

“Musim ini sangat panjang, dan tahun ini Selangor akan menyertai kejohanan antarabangsa. Pengurusan pemain akan menjadi kunci utama untuk mencapai objektif pasukan,” katanya.

Musim lalu, gandingan Tan Cheng Hoe, Nidzam dan Ramon berjaya membawa Selangor beraksi di pentas Asia musim ini.

Setelah saingan musim 2023 tamat, Ramon kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan Selangor dan menyertai sebuah kelab Eropah iaitu Ethnikos Achnas yang berpangkalan di Cyprus.