Baru-baru ini penduduk Sabah meluahkan rasa kekecewaan apabila jalan raya yang baru dibaiki sempena jelajah Kembara Kenali Borneo kembali rosak semula.

Memetik satu kemas kini berhubung isu tersebut, kualiti kerja kontraktor daripada pihak ketiga yang rendah dipercayai punca laluan di Jalan Gum-Gum, Sandakan, rosak walaupun jalan raya itu telah ditambah baik sebelum ini.

Baca Juga:

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara yang ditularkan di media sosial mengenai jalan rosak itu telah diambil maklum oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebenarnya, jalan tersebut sebelum ini telah melalui kerja pelebaran, namun dilakukan oleh pihak ketiga.

“Bukan disebabkan guna bahan tidak berkualiti, tetapi kemungkinan kualiti kerja yang rendah semasa buat kerja pelebaran itu dilakukan,” katanya selepas dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau lagi, pihak JKR daerah sepatutnya telah memeriksa dan memantau kerja yang telah dilakukan sebelum itu dengan lebih teliti.

“Kerja yang rosak tersebut bukan dibuat oleh kontraktor kerja penyelenggaraan (konsesi) tetapi oleh kontraktor lain yang telah dilantik.

“Jadi perkara tersebut telah diambil maklum oleh pihak JKR dan JKR telah mengarahkan pihak konsesi jalan untuk melakukan kerja pembaikan pada tahun ini juga,” tegasnya.

Sumber