Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan Indonesia, Hector Souto menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk membawa masuk pemain naturalisasi bagi memperkuatkan pasukannya.

Tidak seperti bola sepak Indonesia yang kelihatan semakin giat menambah pemain warisan (dianggap naturalisasi di Indonesia), Souto mempunyai pendapat sebaliknya dalam futsal.

Baca Juga:

Souto yang baharu sahaja membimbing skuad Indonesia berpendapat bahawa negara itu mempunyai begitu ramai bakat dan nyata tidak langsung memerlukan tenaga luar.

Menjawab pertanyaan wakil media futsal popular di Indonesia, Bolalob Futsal berhubung cadangan tersebut, pengendali kelahiran Sepanyol itu dilihat lebih berminat untuk bekerja keras dalam mengesan bakat baharu untuk diketengahkan.

Pendapat Souto itu ada asasnya kerana selain daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia, terdapat kira-kira 800 pasukan bersaing di Liga Nusantara (liga divisyen 2) yang menggamit penyertaan pasukan daripada seluruh Indonesia.

Hector Souto: Futsal Indonesia Tak Perlukan Pemain Naturalisasi, Hanya Fokus Pembangunan Akar Umbi
Hector Souto (tengah).

Keadaan itu sudah cukup jelas untuk Souto bagi menggerakkan tenaga kerjanya untuk mengenalpasti pemain-pemain berbakat.

“Saya sangat gembira dengan pemain-pemain yang saya ada pada ketika ini. Saya tidak memerlukan pemain naturalisasi.”

“Yang paling penting sekarang ialah pembangunan akar umbi,” ujar Hector Souto kepada Bolalob Futsal.

“Selepas kejohanan AFF nanti, saya ingin terlibat dalam perkembangan pemain futsal usia muda dan mencari pemain-pemain daripada skuad bawah 20 tahun dan 23 tahun untuk dinaikkan ke skuad senior.”

“Saya yakin di Indonesia, kita memiliki bakat yang cukup dan kita tidak memerlukan pemain naturalisasi,” tambah beliau lagi.

Souto dan anak-anak buahnya kini sudah berada di Bangkok sebagai persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2024 di Korat bermula 2 November nanti.