Aaron Chia-Soh Wooi Yik telah menamatkan penantian Malaysia selama 18 tahun untuk menjuarai acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menundukkan Chen Bo Yang-Liu Yi di perlawanan akhir, malam tadi.
Kemenangan 21-19, 21-17 dicatatkan menyaksikan pasangan ranking kedua negara itu juga cemerlang tanpa keciciran set sepanjang kejohanan yang berlangsung di Ningbo, China tersebut.
Baca Juga:
- Tampil Cemerlang, Aaron Chia-Soh Wooi Yik Juarai Kejohanan Badminton Asia 2025
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik Ke Final Kejohanan Badminton Asia 2025
- Lee Chong Wei Nasihati Aaron-Wooi Yik: ‘Jangan Jadi Macam Saya Dapat Tiga Pingat Sama Warna’
Namun, seperti dijangka nama Herry Iman Pierngadi pastinya lebih mencuri tumpuan susulan kejayaan anak buahnya itu.
Hanya selepas dua bulan membimbing beregu lelaki negara, Herry Iman sudah berjaya menghadiahkan kejuaraan buat Malaysia selepas kempen kurang baik di Eropah tempoh hari.
Tinjauan di laman Facebook peminat badminton Indonesia iaitu Amazing Badminton Community, rata-rata mereka memuji sumbangan berkesan diterjemahkan oleh pengendali berusia 62 tahun itu.
Ada yang berpendapat perubahan corak permainan ditampilkan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik adalah hasil daripada sentuhan Herry Iman.
“Maksudnya, Coach Naga Api memang ada peranan besar dalam kejayaan pasangan ini di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025,” – Partick Jap
“Cara [Aaron-Wooi Yik] bermain sahaja dilihat sudah berubah semalam, bermakna Herry IP memang merupakan jurulatih terbaik dunia,” ujar Ferdy Champar.
Malah ada juga meluahkan rasa kekecewaan kerana Herry Iman tidak dikekalkan sebagai jurulatih skuad kebangsaan Indonesia.
“Ramai orang bijak dan berprestasi baik di Indonesia tetapi mereka kurang dihargai. Inilah negeriku,” kata Eka Bagus Khasanah.
Kejohanan Badminton Asia 2025 merupakan kejayaan sulung buat Aaron dan Wooi Yik pada tahun ini dimana kali terakhir mereka muncul juara adalah pada Korea Masters 2024.