Pada hari selasa lalu, di Kuala Lumpur secara khususnya dilimpahi hujan lebat sepanjang hari sehingga menyebabkan berlakunya tanah mendap di kawasan-kawasan bukit serta banjir di sekitarnya.

Malah, tular sebuah video yang memperlihatkan tanah runtuh yang teruk di Taman Melawati sekaligus banyak rumah-rumah penduduk yang terjejaa dan perlu beredar dari kawasan tersebut demi keselamatan sejagat.

“Hidup dan mati saya, Insya-Allah di rumah ini. Saya sayang rumah ini,” itu kata penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, mengenai kediaman banglonya yang telah didiami hampir 30 tahun yang bertempar di lokasi terbabit.

Menurut Yusof, terlalu banyak kenangam yang tersimpan di sebalik mahligai yang dibinanya sejak pembikinan filem Sembilu lagi.

Tambahan pula, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjual atau meninggalkan rumah dibinanya itu kerana dianggap sebagai rumah warisan keluarga.

Difahamkan insiden tanah runtuh tersebut berlaku hanya 400 meter sahaja dari banglo enam tingkat miliknya itu.

“Untuk apa saya nak tinggalkan rumah ini? Rumah ini terlalu banyak kenangan buat saya dan isteri.

“Di rumah inilah anak-anak saya dibesarkan, rumah ini jugalah tempat anak saya berkahwin, dan di sini juga filem Sembilu difilemkan.

“Mana mungkin saya nak berpindah.Kalau umur panjang, saya ingin hidup dan mati di sini. Insya-Allah,” katanya kepada Gempak.

Mengulas isu tanah runtuh di kawasan kediamannya di Taman Melawati, Yusof memberitahu, setakat ini rumah yang didiaminya tidak terjejas.

Untuk menjamin keselamatan dirinya dan sekeluarga, dia juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa memeriksa kawasan rumah.

“Saya ambil masa dua tahun untuk bina rumah ni. Dulu memang ada runtuhan kecil, tetapi seluruh kawasan rumah saya telah dikonkritkan.

“Setiap tahun, saya memang akan panggil jurutera untuk periksa sistem saliran air dan sebagainya. Insya-Allah, setakat ini, semuanya selamat. Belum pernah berlaku runtuhan lagi di rumah saya.

“Tapi saya tak berani nak kata 100 peratus kawasan rumah saya selamat, sebab kalau Tuhan kata nak berlaku, siapa kita untuk menolak? Cuma setakat ini, Alhamdulillah, semuanya baik.

“Dulu kita kurang pengalaman, tapi sekarang, saya lebih tahu apa yang perlu dilakukan untuk keselamatan keluarga,” ujarnya lagi.

Sumber