“Hari-hari dia (A Galak) bersama saya. Semua fake news (berita palsu),” kata pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, 69, berhubung penyebaran berita palsu mengenai sahabat baiknya, pelakon A Galak, 82, yang didakwa meninggal dunia hari ini.

Yusof yang kesal dengan penyebaran berita itu berkata, ia dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang didapatinya kini semakin tidak terkawal di media sosial untuk tujuan tertentu.

Baca Juga:

“Perbuatan ini dilakukan orang yang bersikap tidak bertanggungjawab. Dah makin kerap berlaku dan saya harap mereka hentikan membuat dosa saja dengan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai.

“Semoga ada undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa dan berwajib bagi mereka yang melakukan penyebaran berita palsu ini. Kena ada hukuman denda yang setimpal atau penjara,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Terdahulu, media sosial dipenuhi dengan berita mendakwa A Galak yang cukup dikenali sebagai ‘Sarjan Misai’ dalam drama Gerak Khas dilaporkan meninggal dunia dan orang ramai dimohon sedekahkan Al Fatihah.

Sebelum ini, A Galak pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Mei 2019 selepas diserang angin ahmar.

Bagaimanapun, kini dia sihat dan keadaannya masih baik serta aktif bekerja dengan Skop Production milik Yusof.

Sumber