Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah penuh bergaya ke pentas final Kejohanan Badminton China Masters 2024.
Perlawanan yang berlangsung sebentar tadi di Shenzhen Sports Center itu menyaksikan kemenangan dicatatkan Pang Ron dan Su Yin ke atas pasangan ranking ketujuh dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Baca Juga:
- Senarai Wakil Malaysia Ke Separuh Akhir China Masters 2024
- China Masters 2024: Pang Ron-Su Yin Kejutkan Pasangan Ranking Ketiga Dunia Untuk Ke Suku Akhir
- China Masters 2024: Zii Jia Tewas Di Pusingan Pertama Kepada Lakshya Sen
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan Pang Ron-Su Yin ke atas lawan sama selepas sebelum ini mereka menang di Terbuka Macau pada September lalu.
Semangat membara jelas dapat disaksikan dalam corak permainan pasangan negara itu yang memenangi set pertama dengan jurang mata 21-14.
Cabaran selepas itu lebih getir dihadapi gandingan Malaysia itu dimana Chun Man-Ying Suet memperkemaskan aksi hingga berjaya mencuri set kedua dengan kemenangan 21-17 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Tersentak dengan kekalahan tersebut, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin menyerap tekanan pada set ketiga dengan baik walaupun diberikan tentangan hebat apabila terikat 15-15 dan 17-17 pada lewat permainan.
Tekanan memuncak itu dileraikan dengan kemenangan 21-19 untuk memastikan kemaraan buat pertama kali mereka dalam kejohanan siri Jelajah Dunia.
Menanti mereka di pentas final esok ialah pilihan serta pasangan ranking pertama dunia, Fang Yan Zhe-Huang Dong Ping yang menundukkan satu lagi wakil Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-18, 21-13.
China Masters 2024 merupakan kejohanan berstatus Super 750 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) dimana menawarkan hadiah wang tunai serta mata ranking yang cukup tinggi untuk menjadi rebutan para pemain.