Selgate Specialist Hospital (SSH) Sepang telah memulakan operasinya secara rasmi sebagai hospital swasta pertama di daerah ini, sekali gus memperluas akses perkhidmatan perubatan pakar bagi komuniti di koridor Sepang–Nilai.
Terletak di lokasi strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Salak Tinggi, Bandar Enstek dan Lebuhraya Utara–Selatan, hospital berkenaan memulakan operasi berfasa dengan penyediaan 43 katil daripada kapasiti penuh 112 katil yang dirancang, petik New Straits Times.
Operasi SSH Sepang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Tengah SSH, Miranda Harumal bersama Pengarah Perubatan, Dr Mohd Shahril Jaapar, dengan sokongan 15 doktor pakar dalam bidang ortopedik, kesihatan metabolik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta pembedahan am.
Selain dilengkapi Jabatan Kecemasan 24 jam, dewan bedah, unit rawatan rapi serta kemudahan diagnostik, hospital tersebut turut memperkukuh ekosistem kesihatan bersepadu Selgate Corporation bersama rangkaian Selcare dan SSH Rawang, menjelang pembukaan SSH Setia Alam pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, pembukaan hospital itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam membina ekosistem penjagaan kesihatan yang mampan serta membawa rawatan berkualiti lebih dekat kepada rakyat.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau membuat janji temu menerusi talian 03-87058088 atau aplikasi Selangkah.