Apple Pay sudah menjadi salah satu pilihan kaedah pembayaran tanpa tunai yang digunakan secara meluas para pengguna di Malaysia. Namun, ia masih terdapat institusi perbankan tempatan yang tidak menawarkan sokongan ini secara rasmi.
Menerusi laporan terbaharu, Apple Pay kini sudah tersedia secara rasmi buat para pemilik kad kredit HSBC. Difahamkan Apple Pay kini menyokong kesemua jenis kad kredit yang dikeluarkan oleh HSBC Malaysia sama ada Mastercard atau Visa.
Baca Juga:
- Sudah Rasmi Boleh Digunakan, Pengguna Dilihat Bangga ‘Flex’ Apple Pay Di Media Sosial
- Maybank Masih Pertimbang Untuk Menyokong Ciri Pembayaran Google Pay
Dalam masa yang sama, sokongan ini turut disediakan buat kedua-dua pemilik kad kredit HSBC konvensional dan Amanah HSBC Islamik. Selaras dengan pengenalan sokongan ini, HSBC menawarkan rebat tunai sebanyak RM30 kepada mana-mana pemilik kad yang melakukan sekurang-kurangnya lima transaksi menggunakan Apple Pay.
Syarat rebat tunai pula menetapkan perbelanjaan minimum adalah RM50 untuk setiap transaksi dan promosi terhad sehingga 31 Mei 2023. Penyertaan HSBC bakal merancakkan lagi penggunaan cashless di dalam masyarakat.
Selain HSBC, beberapa institusi bank utama sedia menawarkan sokongan Apple Pay ini sejak tahun lepas iaitu Maybank, Ambank dan Standard Chartered Malaysia. Sementara CIMB Bank pula menyasarkan pengenalannya sekitar separuh kedua tahun 2023 ini.