Trend penggunaan Mounjaro (tirzepatide) di Malaysia kini semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan individu yang mencari penyelesaian efektif untuk pengurusan berat badan dan pesakit Diabetes Jenis 2.
Namun timbul kemusykilan dalam kalangan pengguna mengenai status hukum pengambilannya pada waktu pagi di bulan Ramadan.
Baca Juga:
- Buat Live Stream Tidak Berpuasa Sambil Hisap Vape & Shisha: ‘Ini Tempat Tertutup, Tidak Ada Orang’

- Masjid Ini ‘Minta Tolong’ 5 Perkara Demi Keselesaan Jemaah Buka Puasa

- Azan Baru Berkumandang, Anggota Bomba Tinggalkan Majlis Berbuka Puasa Demi Tugasan

Menerusi perkongsian terbaharu Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), pengambilan suntikan itu tidak membatalkan ibadah puasa.
“Suntikan ubat kurus (liraglutide/tirzepatide/semaglutide) yang dicucuk di bawah kulit bagi tujuan rawatan obesiti adalah tidak membatalkan puasa.
“Hal ini kerana, suntikan tersebut tidak melalui rongga terbuka dan tidak mengandungi unsur nutrisi, sebaliknya hanya mengandungi hormon yang menghantar isyarat kenyang kepada otak serta membantu mengawal selera makan,” petik Jabatan Mufti WPKL.
Harus dalam keadaan darurat
Tambahnya lagi, hukum suntikan perubatan ketika siang Ramadan adalah harus dalam keadaan darurat.
Sementara status puasa individu yang menerima suntikan bawah kulit sama ada suntikan melalui saluran darah mahupun otot adalah tidak membatalkan puasa berdasarkan beberapa pandangan ulama kontemporari.
“Antaranya, Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya menyatakan bahawa suntikan yang dilakukan pada kulit tetapi tidak melalui bahagian rongga adalah tidak membatalkan puasa.
“Selain itu, Habib Hassan al-Kaff juga menyatakan bahawa suntikan yang dilakukan pada otot-otot badan atau anggota badan yang lain seperti peha atau lengan adalah tidak membatalkan puasa. Ini merupakan pandangan yang muktamad dan dipegang oleh kebanyakan ulama kontemporari.
“Adapun menurut Syeikh al-Qaradawi, meskipun suntikan itu boleh memberikan tenaga, namun ia tetap tidak membatalkan puasa kerana ia bukan masuk melalui rongga yang terbuka. Pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh Syauqi ‘Allam iaitu mantan Mufti Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah),” katanya lagi.
Kesimpulannya, suntikan intramuskular (saluran otot) atau intravena (saluran darah) pada siang Ramadan bagi tujuan perubatan tidak membatalkan puasa.
Harus hukumnya bagi pesakit diabetes yang berisiko untuk menerima suntikan ubat kurus berdasarkan nasihat pakar dan puasanya tidak terbatal.