Pengerusi syarikat kereta api milik negara Indonesia yang baru dilantik berkata, projek kereta api laju Jakarta-Bandung menghadapi tekanan kewangan yang semakin memburuk, hingga berpotensi menjadi “bom waktu”.
“Mengenai isu KCIC, kami sedang menelitinya. Ini adalah bom jangka,” katanya ketika sesi pendengaran bersama ahli-ahli Suruhanjaya VI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), baru-baru ini dipetik dari Motoqar.

Ketua baharu PT Kereta Api Indonesia (KAI), Bobby Rasyidin, telah disoal siasat oleh ahli-ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengenai beban kewangan yang dihadapi oleh KAI akibat projek kereta api laju Whoosh.
Dalam mesyuarat sulung beliau dengan DPR, Bobby mendedahkan bahawa projek tersebut telah menyebabkan tekanan kewangan yang serius kepada syarikatnya, yang beliau sifatkan sebagai “bom waktu”.
“Sebenarnya, KAI boleh menjana keuntungan tinggi, tetapi disebabkan Whoosh ia mengalami defisit,” katanya.
Darmadi Durianto, seorang ahli dari Suruhanjaya VI, menyuarakan kebimbangan serius mengenai keadaan kewangan PT Kereta Api Indonesia (KAI). Beliau menekankan bahawa KAI telah menanggung beban kewangan yang berat sejak dua tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh projek kereta api laju Whoosh.
Kenyataan ini selari dengan pandangan Pengarah Utama KAI, Bobby Rasyidin, yang juga mengakui masalah hutang dan kewangan projek Whoosh.
“Jika kita kira, menjelang 2025 beban kewangan daripada kerugian KCIC boleh mencecah lebih IDR4 trilion (~RM1.03 bilion). Beban dari KCIC sahaja sudah melebihi IDR950 bilion (~RM245 juta) ; didarab dua, ia melebihi IDR4 trilion,” jelas Darmadi.
Selepas menerima cadangan dan kritikan daripada ahli parlimen, Bobby Rasyidin, selaku Pengarah Utama KAI, telah menegaskan komitmen syarikatnya untuk menyelesaikan masalah kewangan yang berkaitan dengan projek Whoosh. Beliau berjanji akan berusaha mencari penyelesaian agar KAI tidak terus menanggung tekanan kewangan.
“Pada masa ini, masih terdapat banyak halangan dalam organisasi KAI, dan kami memerlukan seminggu untuk meneliti isu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Danantara (Dana Kekayaan Negara Indonesia) telah berjanji untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang semakin memuncak berkaitan dengan projek kereta api laju Whoosh.

Menurut Dony Oskaria, Ketua Pegawai Operasi Danantara, projek tersebut yang dianggap sebagai simbol cita-cita dan pada masa yang sama pembaziran, kini menjadi salah satu keutamaan utama bagi pihak mereka untuk diselesaikan.
Perbincangan sedang berlangsung antara Danantara, KAI, dan KCIC untuk mengatasi isu-isu kewangan yang dihadapi oleh projek kereta api laju Whoosh.
Anak syarikat KAI, PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI), yang merupakan pemegang saham terbesar dalam KCIC, melaporkan kerugian sebanyak IDR 1.625 trilion (~RM 422.62 juta) pada separuh pertama tahun 2025.
Walaupun menghadapi masalah kewangan, Whoosh menunjukkan prestasi yang baik dari segi operasi, dengan masa perjalanan yang pantas antara Jakarta dan Bandung, iaitu 45 minit. Perkhidmatan ini telah mengangkut 2.9 juta penumpang dari Januari hingga Jun tahun ini, menunjukkan peningkatan 10% berbanding tahun sebelumnya.
Pada mulanya, projek ini dibiayai 75% oleh pinjaman dari Bank Pembangunan China dengan kadar faedah 2%.
Namun, disebabkan oleh peningkatan kos projek sebanyak USD1.2 bilion akibat pandemik dan isu tanah, Indonesia terpaksa mengambil pembiayaan tambahan pada kadar faedah yang lebih tinggi, iaitu 3.4%.