Lebih 750 pelancong Malaysia menggunakan perkhidmatan kereta api laju Whoosh Indonesia setiap hari pada awal September. Lonjakan jumlah ini berlaku disebabkan oleh cuti hujung minggu panjang di Malaysia dan Indonesia.

Sejak dilancarkan pada Oktober 2023, perkhidmatan kereta api laju Whoosh telah mengangkut seramai 528,000 penumpang asing.

Lebih 750 Orang Naik Dalam Sehari, Rakyat Malaysia Pengguna Terbesar Kereta Api Laju Indonesia
Sumber Gambar: Trip Advisor

Daripada jumlah itu, rakyat Malaysia menyumbang kepada jumlah terbesar iaitu 225,000 orang, atau 43 peratus. Ini menjadikan rakyat Malaysia sebagai pengguna asing terbanyak perkhidmatan kereta api ini dipetik dari Berita Harian.

Jurucakap KCIC, Eva Chairunisa, menyatakan bahawa pelancong asing melihat perkhidmatan Whoosh sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan mereka di Indonesia, dan bukannya sekadar pengangkutan semata-mata.

“Setiap hari puluhan kumpulan pelancong Malaysia tiba, sama ada dari lapangan terbang atau selepas melawat Jakarta, sebelum meneruskan perjalanan ke Bandung menaiki kereta api Whoosh,” katanya dalam satu kenyataan.

Whoosh, perkhidmatan kereta api laju pertama di Asia Tenggara, menghubungkan Jakarta dan Bandung sejauh 150 kilometer dalam tempoh kurang 50 minit.

Ini jauh lebih pantas berbanding perjalanan menggunakan lebuh raya bertol yang memakan masa antara satu setengah hingga tiga jam, malah boleh melebihi empat jam semasa cuti atau kesesakan lalu lintas.

Menurut Eva, KCIC dan kementerian pelancongan Indonesia bekerjasama secara aktif dalam mempromosikan perkhidmatan Whoosh di peringkat antarabangsa.

Usaha promosi ini termasuk mengadakan pameran, program lawatan pengenalan, dan berkolaborasi dengan vlogger pelancongan dari Malaysia bagi memperluas jangkauan mereka kepada audiens yang lebih besar.

Pada Julai, Malaysia mencatatkan jumlah kedatangan pelancong tertinggi ke Indonesia dengan kira-kira 212,000 kunjungan daripada keseluruhan 1.48 juta yang direkodkan.

Namun, jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.28 peratus berbanding bulan sebelumnya, iaitu Jun.