Jika hutang Whoosh kepada China gagal dilunaskan, kedaulatan Indonesia berisiko terancam, demikian amaran daripada bekas Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan, Mahfud MD.
Menurut Mahfud, hutang tersebut membawa implikasi yang jauh lebih besar daripada sekadar risiko ekonomi; ia boleh menjejaskan kedaulatan negara dengan potensi kehilangan Laut Natuna Utara—kawasan strategik utama pertahanan dan perikanan.

Dalam siaran YouTube peribadinya, Mahfud MD mengkritik hutang Whoosh sebagai ‘amat besar dan luar biasa pelik’, terutama kerana ia berpunca daripada perjanjian ‘Business to Business’ (B2B) antara BUMN Indonesia dan syarikat milik kerajaan China.
“Bunganya sahaja mencapai 2 trillion rupiah setahun (RM509 juta) sedangkan pendapatan tiket maksimum hanya 1.5 trilion rupiah (RM382 juta) . Setiap tahun hutang makin meningkat, bunga makin berbunga, dan akhirnya negara yang menanggung,” katanya.
Berdasarkan terma hutang semasa, Mahfud mendedahkan tempoh bayaran balik boleh mencecah 70 hingga 80 tahun, yang disifatkan sebagai tidak masuk akal dan membebankan. Oleh itu, beliau turut menyokong keputusan Timbalan Menteri BUMN, Purbaya Yudhi Sadewa, untuk tidak membenarkan kerajaan mengambil alih hutang tersebut seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Mahfud, rancangan awal melibatkan kerjasama dengan Jepun pada kadar faedah 0.1 peratus (berdasarkan kajian pakar UI dan UGM). Perancangan berubah apabila Jepun meminta kenaikan kadar faedah, menyebabkan kerajaan memilih China, yang kadar faedahnya melonjak daripada 2 peratus kepada 3.4 peratus kerana kos projek membengkak.
“Ketika itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan, menolak kerana projek ini tidak relevan. Tapi beliau akhirnya dipecat,” ujar Mahfud. Walaupun amaran diteruskan oleh pakar dasar awam Agus Pambagio—yang dipanggil oleh Presiden Jokowi—bahawa projek itu tidak ekonomik dan merugikan, projek itu tetap diteruskan.
Setelah Jokowi mengaku idea projek itu datang daripadanya, Agus Pambagio tidak lagi membantah. Meskipun amaran telah diberikan oleh pelbagai pihak, projek itu tetap diteruskan. Mahfud kini memaklumkan, PT KAI sedang bergelut untuk membayar hutang dan faedah, dan Kementerian BUMN enggan menukarkan tanggungan itu menjadi hutang kerajaan.
“Kita membangun Whoosh, tapi mengorbankan pembangunan untuk rakyat,” tegasnya.