Syarikat kereta elektrik (EV) terkemuka global, BYD mengumumkan sub jenama kereta EV berprestasi tinggi mereka, YANGWANG telah memecahkan rekod Bugatti.

Menerusi hantaran rasmi di media sosial BYD, model YANGWANG U9 Xtreme berjaya mencatatkan kelajuan maksima 496.22km/j, mengatasi model Bugatti Chiron Super Sport 300+ (490.48km/j).

Baca Juga:

Kemampuan hypercar EV itu diuji di fasiliti ATP Automotive Testing Papenburg (ATP Papenburg), Jerman pada 14 September lalu.

Kereta tersebut dipandu oleh pemandu profesional, Marc Basseng.

“Di ATP Automotive Testing Papenburg, YANGWANG U9 Xtreme telah menulis semula buku rekod dengan muncul sebagai kereta produksi terpantas di dunia.

“Ini lebih daripada sekadar memecahkan had. Ia tentang mentakrifkan semula imaginasi melalui penerokaan perkara yang belum diterokai. Era baharu prestasi bermula di sini,” kata BYD.

YANGWANG menyatakan kereta tersebut bukan sekadar memecahkan rekod dalam satu dimensi sahaja, tetapi juga merentas dan mengintegrasikan cabaran kelajuan pelbagai dimensi seperti kelajuan & masa pusingan, serta jalan lurus & berselekoh.

Kejayaan dicapai hasil 30 tahun BYD terokai elektrifikasi
Hypercar EV BYD Pecahkan Rekod Bugatti
Sumber Gambar: Instagram @byd.europe

YANGWANG U9 Xtreme miliki platform voltan tinggi 1,200V yang menghasilkan lebih 3,000hp, sistem kawalan casis ‘Yunnian-X’ dan sistem brek gred kereta lumba litar.

Pada masa sama hypercar EV tersebut dibina sepenuhnya daripada gentian karbon berprestasi tinggi gred aeroangkasa T700 12K — menawarkan kekuatan luar biasa dengan berat yang sangat ringan.

Sementara tayarnya pula direka khas berprestasi ultra tinggi khusus untuk kelajuan melebihi 500 km/j.

Hypercar EV BYD Pecahkan Rekod Bugatti
Sumber Gambar: YANGWANG Auto

Selain menjadi kereta terpantas, YANGWANG U9 Xtreme turut mencatatkan rekod masa 6 minit 59.157 saat di litar Nürburgring Nordschleife di Jerman.