Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan setiap keputusan berhubung sesi persekolahan dibuat secara lebih tersusun dan saksama.

Langkah berkenaan diambil susulan perbincangan bersama agensi berkaitan serta penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menekankan pentingnya pengurusan jerebu berpandukan PTJK, dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta nasihat Kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memahami keresahan yang dihadapi oleh ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang situasi jerebu melanda negara.

“Melalui penyelarasan ini, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Mengulas mengenai desakan penutupan sekolah awal, beliau menjelaskan bahawa bacaan IPU berpotensi berubah dalam tempoh yang singkat.

Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira dinamik perubahan tersebut berisiko menyebabkan murid kehilangan masa pembelajaran penting walaupun kualiti udara telah pulih.

Bagaimanapun, KPM tetap prihatin terhadap kebimbangan ibu bapa, khususnya bagi anak-anak yang mempunyai masalah kesihatan atau sensitif terhadap pencemaran udara.

“Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” jelas beliau.

Dalam pada itu, KKM turut menyarankan beberapa langkah perlindungan kesihatan termasuk penggunaan pelitup muka bagi melindungi murid-murid daripada kesan buruk jerebu.

Fadhlina turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan kementerian, namun nilai setiap hari persekolahan terhadap perkembangan akademik anak-anak juga perlu dipelihara secara seimbang.

“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi dan memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya lagi.