Keterujaan menyambut cahaya mata sering kali diiringi dengan pemilihan nama yang indah dan unik.
Namun, ada kalanya nama yang dirasakan istimewa pada mulanya bertukar menjadi satu cabaran buat ibu bapa untuk menyebutnya.
Baru-baru ini, tular di aplikasi Threads kisah seorang ibu yang berhadapan dengan situasi pening kepala ini. Luahan jujurnya bukan sahaja menarik perhatian umum, malah turut mendapat maklum balas terus daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ibu tersebut, yang dikenali sebagai @lienda_idris, meluahkan rasa ralat kerana nama anak lelakinya yang hampir mencecah usia tiga tahun sangat sukar untuk disebut, apatah lagi oleh dirinya sendiri dan orang sekeliling.
Nama penuh anak tersebut ialah Muhammad Hezeque Maleeq Bin Muhammad Gabriel Ikhwan.
“Boleh lagi ke nak tukar nama anak? Bulan depan dah 3 tahun. Masalahnya aku nak sebut pun susah lagikan orang lain,” rintih Lienda di laman Threads.

Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa sebutan sebenar nama tersebut dipengaruhi oleh nama ‘Ezekiel’ yang sering dikaitkan dengan nama Nabi Zulkifli. “Cara sebutan Ezekiel ialah /ˈiːzɪkiəl/, dibaca lebih kurang sebagai ee-zi-ki-el,” tambahnya bagi merungkai kekeliruan orang ramai.
Melihatkan keluhan tersebut, JPN turut meninggalkan komen balas secara santai namun sarat dengan informasi.
“Sebutan Hezeque tu kalau orang tak tau mesti sebut Hezeque..padahal sebutan sebenar dia Hezeque,” seloroh wakil JPN pada mulanya.
Namun begitu, mereka pantas memberikan nasihat dan panduan profesional berhubung persoalan Lienda mengenai prosedur penukaran nama:
“Tapi menjawab kepada soalan puan, pindaan nama anak boleh dibuat sebelum anak mencecah umur 1 tahun.. Apabila sudah lebih 1 tahun, pindaan boleh dibuat atas alasan tertentu.. Sebagai contoh: nama membawa maksud tidak baik. Jangan lupa kemukakan dokumen sokongan semasa permohonan,” jelas JPN memberi pencerahan.
Syarat dan Cara Tukar Nama Anak (Bawah 1 Tahun)
Jika anda berada dalam situasi yang sama dan anak anda masih belum berusia setahun, prosesnya agak mudah untuk dilakukan. Anda berpeluang menukar nama anak sekali sahaja atas alasan yang munasabah seperti tersalah ejaan atau nama tidak sesuai.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ikuti:
1. Kunjungi Cawangan JPN: Anda tidak perlu kembali ke JPN tempat pendaftaran kelahiran anak dibuat. Ibu bapa hanya perlu hadir sendiri ke mana-mana cawangan JPN yang berdekatan.
2. Sediakan Dokumen Lengkap: Pastikan anda membawa dokumen yang diwajibkan. Ini termasuklah:
Borang permohonan (boleh didapati di JPN)
MyKad ibu dan bapa (perlu bawa kad asal dan salinan)
Sijil kelahiran asal anak
Surat sokongan dari hospital atau pihak berkaitan (jika ada)
3. Bayaran Pemprosesan: Sediakan wang tunai sebanyak RM5 untuk caj pemprosesan pendaftaran di kaunter JPN.
4. Tempoh Menunggu: Proses ini tidak akan mengambil masa yang terlalu lama. Anda hanya perlu menunggu sekitar satu hingga dua minggu dan pihak JPN akan memaklumkan kepada anda setelah sijil kelahiran yang baharu siap untuk diambil.
Satu fakta penting yang perlu ibu bapa tahu adalah, JPN tidak akan memadam nama asal anak dari rekod. Nama yang baharu akan dimasukkan, namun akan terdapat satu catatan di dalam sijil yang menunjukkan nama asal sebelum ditukar bagi tujuan kepentingan rekod rasmi.
Bagaimana Pula Jika Anak Melebihi Usia Setahun?
Seperti kes Puan Lienda yang anaknya bakal mencecah umur 3 tahun, prosedur penukaran tidak lagi boleh dibuat terus di kaunter JPN.
Proses ini perlu melalui arahan rasmi daripada pihak mahkamah terlebih dahulu. Selepas perintah mahkamah dikeluarkan, barulah JPN boleh melakukan perubahan dalam sijil kelahiran anak tersebut.
Ingatan Mesra Buat Ibu Bapa
Memilih nama anak adalah satu tanggungjawab yang besar dan amat disarankan agar ibu bapa lebih peka dengan pemilihan tersebut.
Walaupun nama yang unik nampak menarik, pastikan ia membawa maksud yang baik dan mudah disebut agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan dalam urusan harian serta masa hadapan anak anda kelak.