Selepas mencuri perhatian ramai menerusi filem pendek Tahun Baru Cina awal tahun ini, kisah Ah Seng dan Nadia kini diteruskan dalam sebuah iklan Raya daripada PLUS Malaysia Berhad yang membawa mesej penuh makna tentang kesabaran dan keikhlasan.
Dalam iklan pendek ini, penonton dibawa mengikuti perjalanan Ah Seng yang baru memeluk Islam dan cuba menunaikan ibadah puasa buat pertama kali dalam hidupnya.
Dalam masa yang sama, dia juga bekerja keras mengumpul duit dengan harapan dapat berkahwin dengan wanita yang dicintainya, Nadia.

Berdepan pelbagai godaan sepanjang hari
Sepanjang hari bekerja sebagai tukang pembaiki rumah, Ah Seng berdepan pelbagai situasi yang menguji kesabarannya.

Ada pelanggan yang sedang memasak hidangan menyelerakan di rumah, ada yang menghulurkan minuman kerana menyangka dia bukan Muslim, malah ada juga yang mengajaknya makan sekali.
Setiap kali diuji dengan situasi seperti itu, Ah Seng hanya mampu menenangkan dirinya dengan satu perkataan ringkas.
“Sabar.”
Walaupun nampak sederhana, perkataan itu cukup menggambarkan kekuatan dirinya untuk terus bertahan menjalani ibadah puasa pertamanya.
Detik berbuka yang tak dijangka

Menjelang penghujung hari, Ah Seng dipanggil untuk melakukan kerja pembaikan di sebuah surau.
Di situlah berlaku satu momen yang cukup menyentuh hati dan menjadi titik perubahan kepada pengalaman puasanya pada hari tersebut.
Kalau nak tahu bagaimana kisah Ah Seng berakhir dan apa yang berlaku ketika dia berbuka puasa, anda boleh tonton video penuh iklan raya ini.