Imigresen FC secara rasmi menjenamakan semula kelab itu kepada Star City FC (SCFC) sebagai identiti baharu bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.

Penjenamaan semula itu diumumkan pengurusan tertinggi IFC Corp yang menyifatkannya sebagai permulaan era baharu dalam usaha membentuk sebuah kelab lebih profesional, progresif dan berdaya saing di pentas bola sepak tempatan.

Star City FC akan terus menjadikan Alor Setar sebagai pangkalan pasukan dan kekal membawa aspirasi mewakili Kedah serta kawasan utara Semenanjung.

Daripada Imigresen FC Ke Star City FC

Perkembangan terbaharu itu disahkan menerusi kenyataan media yang  dikeluarkan sebentar tadi.

“Pengurusan Tertinggi IFC CORP dengan penuh rasa bangga mengumumkan bahawa satu keputusan bersejarah telah dicapai secara sebulat suara untuk menjenamakan semula Imigresen Football Club (IFC) kepada STAR CITY FOOTBALL CLUB (SCFC), berkuat kuasa hari ini bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.”

“Penjenamaan semula ini menandakan permulaan era baharu dalam usaha membina sebuah kelab bola sepak yang lebih profesional, progresif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi jangka panjang untuk menjadi antara kelab terkemuka di Malaysia.”

“Nama STAR CITY FC dipilih berinspirasikan Alor Setar, ibu negeri Kedah Darul Aman. Perkataan ‘STAR’ melambangkan Alor Setar sebagai nadi sejarah, pentadbiran dan pembangunan negeri, manakala ‘CITY’ menggambarkan sebuah kelab moden yang bersedia melangkah lebih jauh dengan aspirasi yang lebih besar.

“Walaupun tampil dengan identiti baharu, STAR CITY FC akan terus berpangkalan di Alor Setar dan kekal menjadi lambang kebanggaan rakyat Kedah serta seluruh warga utara tanah air.

“Selaras dengan penjenamaan ini, kelab turut memperkenalkan moto rasmi ‘THE PRIDE OF THE NORTH’, manakala komuniti penyokong rasmi akan dikenali sebagai ‘THE NORTHERN STARS’ sebagai simbol semangat, perpaduan dan kekuatan penyokong dalam mengangkat nama kelab.

“STAR CITY FC bukan sekadar sebuah nama baharu, tetapi melambangkan identiti, visi dan cita-cita baharu. Kami menyeru seluruh rakyat Kedah, warga utara dan pencinta bola sepak Malaysia untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dalam mencipta sejarah dan membina legasi yang membanggakan,” menurut kenyataan itu.