Kelab-kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia musim 2026-2027 kini boleh mendaftarkan lebih ramai pemain tempatan selepas Malaysian Football League (MFL) meluluskan penambahan kuota berkenaan.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 slot diperuntukkan kepada pemain asing, manakala baki sehingga 23 slot adalah untuk pemain tempatan.

Jumlah kuota pemain asing bagaimanapun kekal pada 15 pemain seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, setiap kelab hanya boleh mendaftarkan maksimum 33 pemain yang terdiri daripada 15 pemain asing dan 18 pemain tempatan.

Menurut kenyataan dikeluarkan MFL sebentar tadi, lima kuota tambahan yang diluluskan ini adalah khusus untuk pemain berstatus tempatan dan pendaftaran tersebut masih tertakluk kepada syarat Financial Fair Play (FFP).

Kelulusan itu dibuat susulan permohonan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang berdepan jadual padat musim ini.

Kedua-dua pasukan terbabit akan bersaing dalam kejohanan kelab Asia masing-masing, selain AFF Shopee Cup dan pertandingan domestik.

Dalam mempertimbangkan permohonan tersebut, MFL turut mengambil kira situasi Kuching City FC yang tidak mempunyai pasukan Reserve Club.

Kelab berkenaan hanya bergantung kepada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk menyediakan pemain bagi saingan Liga Malaysia serta kejohanan antarabangsa.

Penambahan kuota ini juga dilihat dapat memberikan peluang kepada lebih ramai pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak untuk mendapatkan tempat bersama kelab Liga Malaysia.

Pada masa sama, pemain daripada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia yang sudah melepasi had umur turut mempunyai peluang untuk didaftarkan bersama skuad utama.

Bagi JDT dan Kuching City FC pula, tambahan kuota pemain tempatan ini diharap dapat membantu kedua-dua wakil negara tersebut tampil lebih kompetitif dalam kejohanan kelab AFC.

Ia sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua kelab untuk menyumbang kepada peningkatan mata ranking negara serta memburu kejuaraan di pentas Asia Tenggara.

Bagaimanapun, kelab tidak diwajibkan untuk menggunakan kesemua 38 slot yang tersedia.

Jumlah pemain yang didaftarkan masih bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan setiap kelab, selain perlu mematuhi mekanisme (FFP).

Antaranya termasuk pelaksanaan Salary Cap sebanyak 80 peratus bagi musim 2026-2027, manakala jumlah minimum pendaftaran pemain bagi setiap kelab kekal pada 20 pemain.

Jendela pendaftaran pertama pemain bagi Liga Malaysia musim 2026-2027 akan ditutup pada 3 September 2026, Khamis.

Sumber