Pemain naturalisasi, Lee Tuck tiada dalam perancangan pasukan Terengganu FC (TFC) walaupun beliau telah menyatakan minat untuk kembali ke skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pada musim ini.

Perkembangan itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menurut laporan dalam Berita Harian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Posisi tengah TFC kini sudah penuh dan mereka sedang menanti ketibaan pemain import dari Croatia.

“Setakat ini pemain itu (Tuck) tiada dalam perancangan pasukan termasuk ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam mengharungi saingan liga musim ini.

“Lagipun jentera tengah pasukan yang terdiri daripada pemain tempatan dan import sudah lengkap sepenuhnya, pada masa sama TFC juga fokus kepada pemain muda tempatan untuk memberikan minit permainan yang lebih kepada mereka.

“Satu lagi memandangkan dana pasukan tidak begitu besar, kami terpaksa berbelanja lebih berhemah termasuk mengurangkan jumlah import biarpun sembilan pemain boleh didaftarkan.

“Jadi kami memohon maaf kepada Tuck kerana tidak dapat merealisasikan impiannya biarpun mengetahui pemain itu begitu berminat untuk kembali bersama TFC musim ini,” katanya

Lee Tuck sebelum ini pernah menyarung jersi TFC bermula 2018 hingga 2020 sebelum kembali sebagai pemain pinjaman pada 2022. Beliau kemudian pulang ke UK  bekerja dalam sektor hartanah, selain juga turut aktif dalam sukan lasak.

Selain TFC, pemain kelahiran Halifax, England itu pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, Sri Pahang FC, dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Walaupun sudah beberapa bulan tidak beraksi dalam saingan bola sepak peringkat profesional namun Lee Tuck sedia pertimbangkan tawaran pasukan lain untuk kembali membuat penampilan dalam Liga Malaysia musim ini.