Di sebalik angka RM13,000 yang meletakkan seseorang secara rasmi dalam kelompok T20, timbul satu perdebatan hangat mengenai kecukupan nilai tersebut dalam mendepani realiti ekonomi di ibu kota.

Meskipun pada kertasnya ia dilihat sebagai pendapatan selesa, pengakuan seorang individu baru-baru ini yang mendakwa jumlah tersebut masih ‘sesak’ di Kuala Lumpur telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, individu tersebut mendakwa kini membawa pulang pendapatan kasar setinggi RM13,000 atau gaji bersih sekitar RM10,000 setiap bulan namun masih berasa sesak.

Dia memberikan jumlah kiraan komitmennya secara keseluruhan yang agak mengejutkan kerana tiada baki simpanan walaupun RM100 di hujung bulan.

Pendapatan tunggal: RM13,250

Selepas cukai dan KWSP: RM10,000

Pinjaman Perumahan: RM5,300 (rumah bernilai RM1 juta)

Kereta SUV: RM1,500 (kereta bernilai RM130,000)

Anak: RM1,200

Lain-lain: RM2,000

Individu terbabit menyimpulkan bahawa realiti sebenar kos sara hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur sangat tinggi, sehinggakan individu yang meraih pendapatan RM13,000 pun masih dikira miskin atau kurang berkemampuan.

Hantaran asal berkenaan langsung mengundang pertikaian di kalangan netizen. Rata-ratanya berpendapat gaji yang diterima sudah cukup mewah, namun keputusan pengurusan kewangan yang lemahlah yang menjurus ke arah situasi tersebut.

“Nak beli rumah dan kereta kena seimbang dengan gaji. Bayar ansuran rumah pun dah cukup sesak, inikan pula nak pakai kereta mewah semata-mata nak tambah beban ‘interest’. Memang silap besar!”

“Hanya orang bodoh je gaji 10k sebulan tapi beli rumah untuk orang gaji RM50,000 sebulan.”

Ramai memfokuskan bahawa keputusan pemilikan rumah berharga RM1 juta dan kereta mencecah ratusan ribu bukanlah tindakan yang bernas apabila gaji masih di tangga RM13,000 sahaja.

Selayaknya individu itu perlu mencari kenderaan dan hartanah yang boleh dibiayai dengan realistik memandangkan dia hanya mempunyai satu sumber pendapatan serta tanggungan anak.

Sementara itu, sebahagian netizen turut berkongsi pengalaman sendiri di mana walaupun memiliki gaji sedemikian, mereka masih memilih untuk menyewa atau membeli hartanah di bawah RM500,000 demi ketenangan jiwa di hujung bulan.

Oleh itu, netizen melabelkan individu terbabit sebagai tidak mengukur baju di badan sendiri dengan keputusan kewangan yang dibuat, selain cuba menjadikan situasinya sebagai pengukur kemiskinan di bandar walhal dia sudah berpendapatan selesa.

Titipan pesanan dikongsikan oleh netizen agar masyarakat di luar sana mengambil iktibar dan meningkatkan literasi kewangan peribadi agar tidak merana di kemudian hari.