Band rock ikonik Amerika, My Chemical Romance (MCR) telah membuat kejutan besar apabila mengumumkan akan kembali ke Malaysia untuk konsert sebagai sebahagian daripada jelajah dunia “Long Live The Black Parade” mereka.
Maka, ia menjadi perbincangan hangat dalam segenap masyarakat apatah lagi buat individu yang membesar dengan lagunya yang pasti menggamit kenangan kerana berpeluang untuk melihat band kegemaran buat kali kedua di negara tercinta.
Bagaimanapun, seorang individu di Threads berkongsi pendapatnya yang masih berbelah bahagi sama ada mahu menghadiri ke konsert MCR yang bakal berlangsung ini atau pun tidak selepas mengetahui aksi sebenar penyanyi vokalis itu ketika menyanyi secara live.
“Tengah fikir nak pergi ke tak MCR nanti, tengok YouTube konsert terkini memang out, vokal identiti dah hilang,” ujarnya.
Dia melihat jika kalau vokalis utama iaitu Gerard Way masih kekal dengan persembahan sedemikian, ada baiknya simpan sahaja duit untuk perkara lain.
Dalam pada itu, dia turut membandingkan dengan vokalis Oasis yang sudah menjejak 50-an pun masih bertenaga serta mempunyai suara yang mantap sementara Gerard Way yang masih dalam linkungan 40-an tidak dapat mencapai seperti itu.
Perkongsian individu terbabit sudah semestinya mengundang perbincangan hangat terutamanya peminat dari kalangan generasi milenial yang bersetuju akan keupayaan Gerard dalam membawakan lagunya secara live memang tidak sesedap mana.
Tetapi ramai peminat sebenarnya tidak kisah pun akan lontaran vokal yang tidak lunak atau jelas asalkan mereka boleh menikmati lagu secara langsung dan menatap wajah setiap ahli kumpulan ikonik yang diminati.
Tambah mereka, biarlah ramai tidak mahu datang ke konsert itu, ini bakal memudahkan mereka untuk membeli tiket tanpa perlu berebut untuk mendapatkan slot ke dalam konsert.