Bayangkan perasaan apabila impian yang disimpan hampir setahun musnah begitu sahaja di hadapan pintu masuk stadium.
Itulah detik pahit yang terpaksa ditelan oleh seorang peminat tegar kumpulan rock terkenal, My Chemical Romance, apabila hasratnya untuk menyaksikan konsert jelajah My Chemical Romance 2026 The Black Parade di Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar menjadi mimpi ngeri.
Lelaki yang dikenali sebagai Pan Ruichen menerusi platform Douyin itu sanggup terbang seorang diri dari Beijing, China ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan persembahan kumpulan kegemarannya itu secara langsung.
Lebih menyedihkan, perjalanan tersebut menggunakan satu-satunya cuti tahunan yang dimilikinya bagi tahun ini, selain terpaksa membatalkan komitmen kerjanya demi melunaskan impian berkenaan.
Tiba Jam 6:30 Petang, Kod QR Rupanya Sudah Diimbas Jam 3:22 Petang
Menurut perkongsian video yang tular di media sosial, Pan menjelaskan bahawa dia telah membeli tiket tersebut hampir setahun lebih awal melalui platform jualan semula tiket antarabangsa, Viagogo. Dia membelanjakan lebih $600 (~RM24,000) termasuk caj perkhidmatan agar tidak terlepas peluang keemasan itu.
Namun, setibanya di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sekitar jam 6:30 petang, keterujaannya bertukar panik apabila petugas keselamatan memaklumkan bahawa tiket miliknya tidak lagi sah digunakan.
Kod QR pada tiket berkenaan didapati telah pun diimbas oleh individu lain sekitar jam 3:22 petang, lebih tiga jam sebelum dia tiba di lokasi.
Dalam nada sebak dan penuh kekecewaan di luar stadium pada malam kejadian, dia meluahkan rasa terkilan kerana tiket yang dibelinya seolah-olah telah dijual lebih daripada sekali.
“Saya batalkan kerja saya, ini satu-satunya percutian yang saya ada untuk tahun ini. Saya datang ke sini seorang diri dari Beijing, China ke Kuala Lumpur. Saya habiskan lebih $600 termasuk caj perkhidmatan,” luahnya dalam rakaman video tersebut.
Aplikasi Gagal Muat Naik Bukti, Peminat Tuntut Wang Dikembalikan
Situasi menjadi semakin menekan apabila dia cuba mendapatkan bantuan daripada khidmat pelanggan Viagogo di lokasi kejadian. Menurutnya, walaupun telah membayar caj perkhidmatan yang tinggi, bantuan yang diterima langsung tidak menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Pihak sokongan platform tersebut hanya memintanya menghantar gambar sebagai bukti melalui aplikasi rasmi mereka, namun fungsi muat naik gambar pada aplikasi berkenaan gagal berfungsi ketika dia cuba berbuat demikian.
“Di mana perkhidmatan kamu, Viagogo? Satu-satunya khidmat yang diberikan hanyalah menyuruh saya menghantar gambar sebagai bukti di aplikasi kamu, tetapi aplikasi kamu sendiri tidak boleh menghantar gambar. Pulangkan semula wang saya,” katanya dengan nada berang.
Pengajaran Buat Pembeli Tiket Konsert
Hey @viagogo, give this fan his money back! 🚨
He flew alone from Beijing to Kuala Lumpur—using his only vacation of the year—for the My Chemical Romance concert at Bukit Jalil National Stadium.
• Paid over $600 (incl. service fees) almost a year ago
• Arrived at 6:30 PM,… pic.twitter.com/Are4RSLAp7— Egllo (@aaa2bdn) November 19, 2026
Kisah menimpa peminat dari Beijing ini turut menarik perhatian warga maya di platform X selepas dikongsikan semula oleh pengguna @aaa2bdn yang menggesa pihak Viagogo bertanggungjawab dan memulangkan semula wang mangsa serta-merta.
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan keras kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati apabila mendapatkan tiket acara hiburan menerusi platform pihak ketiga atau jualan semula.
Risiko kod QR digandakan atau dijual kepada lebih daripada seorang pembeli bukan sahaja menyebabkan kerugian wang ringgit, malah meragut pengalaman berharga yang dirancang bertahun lamanya.