Penyerang kelab Eredivisie, FC  Utrecht iaitu Ole Romeny kini jadi sasaran Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk dinaturalisasikan bagi memperkuat pasukan kebangsaan negara itu.

Menurut laporan CNN Indonesia, Presiden PSSI, Erick Thohir sudah pun menghubungi pemain tersebut dalam misi untuk mencari penyerang berkualiti.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pemain berusia 23 tahun itu turut mengakui memiliki darah Indonesia daripada neneknya yang lahir di Medan, Sumatera Utara dan beliau sedia mempertimbangkan untuk menyarung jersi skuad Garuda.

“Ya, nenek saya lahir di Indonesia. Saya sudah berkomunikasi dengan Presiden PSSI (Erick Thohir). Satu penghormatan bagi saya, nenek saya lahir di Indonesia, begitu juga ibu saya yang pernah ke sana,” kata Ole Romeny dipetik dari channel YouTube VoetbalPrimeur.

Bagaimanapun, Romeny yang pernah bermain untuk skuad B-20 Belanda masih belum membuat keputusan untuk menyarung jersi Indonesia kerana ingin fokus terlebih dahulu kariernya di FC Utrecht.

Ketika ini beliau telah beraksi dalam 15 perlawanan bersama FC Utrecht di Liga Eredivisie dan merekodkan satu gol serta dua bantuan gol.

Skuad Indonesia setakat ini diperkuatkan oleh 10 pemain naturalisasi iaitu Jay Idzes, Jordi Amat, Sandy Walsh, Shayne Pattynama, Nathan Tjoe-A-On, Justin Hubner, Thom Haye, Ivar Jenner, Rafael Struick dan Elkan Baggott.

Kehadiran mereka ternyata memberi perubahan lumayan dan berjaya membantu Indonesia menewaskan Vietnam dua kali pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 sekaligus mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.

Malah, pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong turut memberi bayangan akan memanggil beberapa lagi pemain naturalisasi baharu untuk perlawanan menentang Iraq dan Filipina bulan Jun nanti.