Dua kekalahan berturut-turut kepada Oman pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 memberi impak negatif kepada kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemaskini tidak rasmi di laman footy rankings, Harimau Malaya kehilangan 15.70 mata dan kedudukan ranking dijangka jatuh lima anak tangga keย 137 dunia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sebelum menentang Oman, Malaysia berada pada kedudukan 132 dunia dalam ranking FIFA dengan jumlah mata yang terkumpul ialah 1110.17.

Ia kini berkurang kepada 1096.22 mata selepas dua kekalahan kepada Oman. Kedudukan rasmi ranking setiap negara akan dikeluarkan oleh FIFA pada bulan April nanti.

Sebelum ini, kedudukan ranking Harimau Malaya turut jatuh mendadak berbanding kemas kini 130 dunia pada 21 Disember lalu selepas tewas kepada Jordan dan Bahrain di peringkat kumpulan Piala Asia 2023.

Malah, Malaysia juga kembali ke kedudukan keempat ASEAN selepas Indonesia mencatat dua kemenangan ke atas Vietnam sekaligus mengumpulkan jumlah mata sebanyak 30.04.

Skuad Garuda naik empat anak tangga ke kedudukan 135 dunia selepas mengutip tambahan mata sebanyak 14.66 hasil kemenangan 3-0 ke atas Vietnam.

Beberapa hari lepas, Indonesia berada di kedudukan 138 dunia selepas mengutip mata sebanyak +15.37 apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno.

Ianya menjadikan jumlah mata keseluruhan yang dikumpulkan oleh Indonesia ialah sebanyak 1102.7 sekaligus membantu memotong kedudukan ranking Malaysia.

Satu-satunya cara untuk menaikkan semula kedudukan ranking Harimau Malaya ialah mencatat kemenangan ketika aksi menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada bulan Jun nanti.

Untuk makluman, jumlah mata ranking yang ditawarkan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.

Kedudukan ranking ini cukup penting kerana ia akan digunakan untuk menentukan posisi setiap negara dalam balang undian rasmi kelayakan Piala Dunia ataupun Piala Asia.