Kedudukan Presiden FIFA, Gianni Infantino, dilihat semakin goyah apabila semakin banyak persatuan bola sepak mula menunjukkan tanda-tanda tidak lagi mahu berada di belakangnya menjelang pemilihan presiden FIFA yang akan datang.

Sebelum ini, beberapa pihak dalam UEFA sudah mengkritik kepimpinan Infantino, malah terdapat gesaan agar beliau mempertimbangkan untuk berundur selepas beberapa cadangan dan pendekatannya menerima bantahan.

Infantino menerima kecaman kerana cadangannya untuk menubuhkan anak syarikat dalam FIFA untuk membolehkan pelabur luar memiliki kepentingan saham dalam FIFA dan Piala Dunia akan datang.

Kini, beberapa persatuan seperti FA England, FA Wales, FA Finland dan FA Sweden turut dilaporkan tidak akan memberikan sokongan kepada beliau.

Perkembangan ini dianggap tamparan besar kepada Infantino apabila semakin hari semakin banyak FA kebangsaan yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyokong Infantino.

Dengan sokongan yang semakin berkurangan, Infantino didakwa cuba mendapatkan talian hayat daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Hubungan rapat kedua-dua tokoh itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat menjadi antara faktor beliau mahu mendapatkan sokongan politik daripada Washington.

Malah, beliau juga dilaporkan merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

Namun begitu, usaha untuk bercakap secara terus dengan Trump dikatakan masih belum berjaya. Beberapa laporan mendakwa kem Trump ketika ini belum memberi keutamaan kepada permintaan tersebut.

Hubungan rapat Infantino dengan Trump juga bukan perkara baharu. Sebelum ini, beliau pernah menerima kritikan kerana dilihat terlalu mesra dengan pentadbiran Amerika Syarikat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada FIFA masih benar-benar bebas daripada pengaruh politik.

Jika benar Trump tampil membantu Infantino dalam pemilihan akan datang, tindakan itu dijangka mengundang kritikan hebat daripada pelbagai pihak kerana ia boleh dilihat sebagai campur tangan politik dalam pentadbiran badan bola sepak tertinggi dunia.

Buat masa ini, belum ada kenyataan rasmi daripada FIFA, Gianni Infantino mahupun pihak White House berhubung laporan tersebut.

Namun satu perkara yang pasti, perebutan kerusi nombor satu FIFA dijangka menjadi antara episod paling hangat dalam sejarah badan induk bola sepak dunia.