Dunia bola sepak Asia Tenggara bakal melakar sejarah baharu apabila buat pertama kali, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan memperkenalkan kejohanan Piala ASEAN FIFA.
Menurut sumber laporan BH Online, kejohanan rasmi anjuran FIFA itu bakal menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN di bawah satu pentas bola sepak terbesar rantau ini.
Langkah bersejarah itu diumumkan sendiri oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino yang kini berada di Kuala Lumpur dalam menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta turut merasmikan FIFA Arena pertama di Malaysia yang telah siap dibina di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Kelana Jaya, Selangor.
Pengumuman Penting Kewujudan Piala ASEAN FIFA
Mengulas mengenai Piala ASEAN FIFA, Infantino menyifatkan kejohanan ini sebagai suntikan semangat baharu untuk bola sepak ASEAN serta simbol penyatuan seluruh rantau di bawah satu bendera menerusi bola sepak.
“Piala FIFA ASEAN ini diwujudkan untuk rantau ini membabitkan semua 11 negara anggota. Ia akan memberi impak besar bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, tetapi juga di seluruh dunia,”
“Angka 11 itu sendiri simbolik dalam dunia bola sepak kerana satu pasukan terdiri daripada 11 pemain dan kini pasukan ASEAN lengkap, bersedia untuk menang,” ujar beliau menurut sumber BH Online ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FIFA dan ASEAN.
Dengan pelancaran rasmi Piala ASEAN FIFA, rantau ini kini melangkah ke era baharu bola sepak, era di mana ASEAN bukan sekadar penonton tetapi pemain utama di pentas dunia.