Demi menjalani kehidupan yang mewah, pasti ada individu yang sanggup mengambil jalan mudah asalkan boleh mengecapinya tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari.
Seorang pempengaruh (influencer) pelancongan Malaysia berusia 33 tahun yang sering mempamerkan gaya hidup glamornya di Instagram dan Threads, telah ditahan di Taiwan kerana didakwa terlibat sebagai ‘keldai wang’ dalam skim penipuan pelaburan palsu.

Memetik laman Says, Jabatan Polis Bandar Taichung, Balai Polis Dajia, mengumumkan pada awal minggu ini bahawa lelaki tersebut, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Lin, telah ditangkap sedang beraksi ketika dia cuba mengambil wang tunai sebanyak TWD300,000 (kira-kira RM41,200) daripada mangsa penipuan.

Pihak polis mula bertindak selepas menerima laporan daripada seorang mangsa yang telah kerugian wang yang banyak akibat penipuan. Apabila sindiket scam tersebut menuntut TWD300,000 (kira-kira RM41,200) lagi untuk diserahkan secara peribadi, para pegawai polis segera menyediakan perangkap di lokasi pertemuan yang dipersetujui.

Dalam operasi serbuan itu, mereka berjaya menangkap Lin ketika sedang melakukan jenayahnya. Lin mengaku dirinya adalah pempengaruh media sosial dari Malaysia yang memfokuskan kepada bidang pelancongan.
Pemeriksaan ke atas barangan Lin mendedahkan ironi di sebalik jenayah itu: mereka menemui sebuah iPhone 17 Pro serba baharu yang penuh dengan pelbagai foto perjalanannya ke luar negara.
Siasatan lanjut mengesahkan Lin sememangnya seorang pempengaruh pelancongan yang disahkan (verified) dengan lebih daripada 11,000 pengikut di Instagram dan Threads. Di platform tersebut, dia terkenal sebagai “jet-setter” sepenuh masa yang menjalani gaya hidup mewah dan sering mengembara ke serata dunia.
Ringkasnya, pempengaruh yang mempamerkan kekayaan global itu kini didakwa mengutip wang haram secara manual dari mangsa scam.
Biografi Lin yang ditulis dalam bahasa Cina, menggambarkannya sebagai “penulis blog fotografi pelancongan yang tidak terlalu profesional” yang “suka mengembara, mengambil gambar, meneroka, dan sedang bersiap untuk maju melalui kerja keras.”
Akaunnya penuh dengan sorotan (Story Highlights) dari destinasi mewah seperti Filipina, Shanghai, dan Paris. Post yang disematkan (pinned posts) pula memaparkan beliau berski, merakam cahaya utara (northern lights), dan bergaya di sisi mercu tanda Eropah.
Namun, segala imej yang disusun rapi mengenai pengembaraan global Lin itu hancur apabila sekeping foto penahanannya kini tular.
Foto tersebut menunjukkan kontras yang sangat ketara: Lelaki yang dahulunya bergaya di bawah cahaya aurora dan di hadapan katedral Paris kini dilihat tertiarap di atas jalan di Taichung, diikat oleh pegawai polis—satu pengakhiran yang sangat berbeza berbanding gaya hidup mewah yang dipamerkannya.
Rentetan daripada itu, Lin mendedahkan bahawa dia terjerumus dalam masalah kewangan kerana ketagihan judi, yang menyebabkannya menanggung hutang yang besar.
Beliau menjelaskan bahawa lawatannya ke Taiwan pada asalnya adalah untuk melawat teman wanitanya. Namun, akibat tekanan hutang yang melampau, beliau bersetuju untuk bekerja dengan sindiket penipuan tersebut sebagai ‘keldai wang’ (money mule).
Di Taiwan, keldai wang dikenali sebagai “车手” (che shou), merujuk kepada individu yang diupah oleh sindiket untuk mengeluarkan atau mengutip wang curi.
Mereka ini sering kali adalah warga asing yang dipancing dengan janji “kerja jangka pendek dengan gaji lumayan.” Menurut laporan media Taiwan, Mega News, keldai wang berfungsi sebagai ‘pelari’ sindiket, menanggung semua risiko manakala dalang utama kekal tersembunyi.

Lin kini berhadapan dengan realiti pahit: imej mewahnya sebagai pengembara global telah musnah dengan penangkapan beliau, dan beliau menyatakan kekesalan kerana tidak tahu cara untuk berdepan dengan teman wanitanya selepas rahsia gelapnya terbongkar.
Beliau terpaksa menukar kehidupan mewah yang dipamerkan di media sosial kepada peranan berisiko tinggi sebagai pengutip wang haram untuk sindiket scam.