Bagi penggemar sukan larian, mencapai rekod peribadi terbaik atau ‘personal best’ dalam acara marathon adalah satu kebanggaan yang sukar dijual beli.

Namun, lain pula kisahnya bagi seorang pempengaruh media sosial dari China yang memilih jalan pintas demi sebuah konten dan kepuasan ego.

Kantoi Naik Basikal Di Jarak 38 Kilometer

Pempengaruh yang dikenali sebagai Abeeeer di platform Xiaohongshu, dengan lebih 530,000 pengikut, sebelum ini memuat naik pencapaiannya menamatkan Berlin Marathon 2026 pada 27 September lalu. Beliau bangga mencatatkan masa 4 jam 53 minit 46 saat.

Influencer Pamer Prestasi Padu Sewaktu Marathon, Rupanya Kantoi Naik Basikal
Sumber Gambar: CBCC

Walau bagaimanapun, penipuannya tidak bertahan lama. Sebuah akaun Instagram yang menyiasat integriti keputusan larian, Official Marathon Time Integrity Unit (OMTIU), membongkar keraguan pada rekod tersebut.

Siasatan OMTIU mendapati pecahan masa larian paling pantas Abeeeer berlaku antara jarak 35 kilometer hingga 40 kilometer.

Gambar bukti yang ditemui jelas menunjukkan beliau sebenarnya sedang santai menumpang di bahagian belakang sebuah basikal berdekatan penanda 38 kilometer.

Mengaku Salah Tanpa Cari Alasan

Selepas dakwaan itu tular, Abeeeer akhirnya membuat pengakuan terbuka pada 3 Oktober lalu. Beliau menjelaskan bahawa tubuhnya berasa kurang sihat semasa acara berlangsung, namun akur bahawa situasi itu bukan alasan untuk menipu.

“Saya tidak akan membuat sebarang pertahanan atas tingkah laku ini,” tulisnya.

Beliau turut mengakui bahawa tindakan mempersembahkan keputusan itu sebagai pencapaian sah merupakan satu tindakan yang sangat tidak jujur dan melanggar semangat kesukanan pertandingan marathon yang adil.

Hilang Penaja Dan Pengajaran Buat Komuniti

Buntut daripada kontroversi ini, jenama barangan sukan terkemuka, Brooks China, mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kerjasama serta-merta.

Brooks China yang sebelum ini membekalkan kelengkapan larian kepadanya memohon maaf atas kekhilafan kerana tidak meneliti data pecahan masa sebelum mempromosikan pencapaian tersebut.

Kenyataan daripada OMTIU turut menyorot perubahan tingkah laku dalam komuniti larian sejak kehadiran segelintir pempengaruh.

Ada yang sanggup menghentikan seketika jam tangan, mencipta garisan penamat palsu, atau memanipulasi data GPS semata-mata mahu menutup rasa tidak yakin diri apabila gagal mencapai sasaran.

Kisah ini menjadi peringatan mesra buat semua bahawa dalam apa jua sukan, kejujuran dan usaha sendiri sentiasa lebih bernilai daripada ribuan tanda ‘like’ di media sosial.