Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dikatakan telah meluluskan beberapa peraturan baharu yang bakal digunakan dalam Piala Dunia 2026.

Menurut sumber laporan wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano, langkah perubahan itu diambil bertujuan untuk mengurangkan taktik melengah-lengahkan masa (time-wasting) serta membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.

Perubahan ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan tempo permainan kekal tinggi selain meningkatkan kualiti pengadilan di pentas terbesar bola sepak dunia.

Peraturan Baharu FIFA Di Piala Dunia 2026

Penggantian Pemain

Antara perubahan paling ketara dalam Piala Dunia nanti ialah berkaitan proses penggantian pemain.

Di bawah peraturan baharu ini, pemain yang digantikan perlu meninggalkan padang dalam tempoh 10 saat selepas diarahkan keluar.

Sekiranya pemain tersebut mengambil masa lebih lama, pemain gantian tidak akan dibenarkan masuk serta-merta dan perlu menunggu selama satu minit sebelum dibenarkan menyertai permainan.

Peraturan ini diperkenalkan bagi mengelakkan situasi pemain sengaja berjalan perlahan ketika meninggalkan padang untuk melengah-lengahkan masa permainan.

Lontaran Ke Dalam

Selain itu, situasi throw-in juga kini tertakluk kepada had masa yang lebih ketat.

Pemain perlu melakukan lontaran ke dalam dalam tempoh lima saat. Jika gagal berbuat demikian, pengadil berhak memberikan penguasaan bola kepada pasukan lawan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan tempo permainan kekal pantas tanpa gangguan taktik membuang masa.

Pemain Terima Rawatan

Peraturan baharu turut melibatkan situasi pemain yang menerima rawatan perubatan di dalam padang.

Selepas rawatan diberikan, pemain tersebut perlu keluar dari padang sekurang-kurangnya selama satu minit sebelum dibenarkan kembali menyertai permainan.

Ini bertujuan mengelakkan taktik pemain yang berpura-pura cedera bagi menghentikan momentum pasukan lawan.

VAR Kini Boleh Semak Kad Kuning Kedua

Dalam masa sama, penggunaan teknologi VAR juga akan diperluaskan dalam Piala Dunia 2026.

VAR kini boleh menyemak keputusan kad kuning kedua yang membawa kepada kad merah sekiranya terdapat kesilapan jelas oleh pengadil.

Selain itu, VAR juga boleh menyemak keputusan sepakan penjuru sekiranya berlaku kesilapan yang nyata.

Perubahan ini diharap dapat membantu meningkatkan ketepatan keputusan pengadil dalam situasi penting yang boleh mempengaruhi keputusan perlawanan.